KOTA BHARU – Seorang penyeludup minyak masak peket mendedahkan dia mampu meraih keuntungan sehingga RM4,000 dengan menjual 100 kotak produk bersubsidi itu yang berisi 17 peket setiap kotak di pasaran Thailand.
Lelaki tempatan yang dikenali sebagai Rin, 47, memberitahu, dia memperoleh bekalan daripada pemborong di negeri ini yang sanggup menjual minyak masak peket kepada mereka kerana tawaran harga yang tinggi.
Katanya, pemborong membeli minyak masak bersubsidi tersebut daripada pengeluar pada harga kira-kira RM40 sekotak.
“Bagaimanapun, penyeludup sanggup membeli dengan pemborong pada harga yang tinggi iaitu RM62 sekotak untuk dijual kepada peruncit di Thailand pada harga kira-kira RM100 sekotak.
“Kami menyeludup minyak bersubsidi ini secara berhati-hati menggunakan bot di Sungai Golok melalui pangkalan haram. Bekalan akan dibawa sedikit demi sedikit menyeberangi sungai itu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Menurut Rin, penyeludup bukan sahaja mendapat stok daripada pemborong di Kelantan, malah ada pemborong dari luar negeri ini turut bersekongkol.
Katanya, ada orang tengah yang akan berurusan dengan pemborong luar untuk mengambil minyak masak peket sekiranya bekalan di Kelantan habis.
“Jika bekalan itu daripada pemborong di Kuala Lumpur, orang tengah akan menunggu di sempadan Gua Musang untuk mengambil minyak masak peket.
“Bekalan minyak masak bersubsidi ini akan terus dibawa ke pangkalan haram untuk diseludup masuk ke Thailand. Jika ada yang pernah ke Thailand, minyak masak bersubsidi yang dijual di sana terdiri daripada pelbagai jenama daripada pengilang Malaysia,” ujarnya.
Rin berkata, sebelum ini mereka menyeludup 100 kotak minyak masak peket sehari, namun kini kuantiti berkurangan ekoran peningkatan kawalan pemeriksaan oleh pihak berkuasa.
Berita berkaitan: Stok minyak masak peket habis di Narathiwat
Sementara itu, seorang pemborong minyak masak peket di Kelantan mengakui ada segelintir pemborong yang sanggup bersekongkol dengan penyeludup.
Pemborong yang mahu dikenali sebagai Man, 60, berkata, dia pernah berdepan dengan situasi ada dalam kalangan rakan-rakannya yang memikirkan keuntungan semata-mata.
“Ada sesetengah pemborong yang dapat 200 kotak minyak masak peket dan stok itu habis dalam masa sehari. Saya sendiri pun hairan kerana stok yang disimpan mereka cepat habis.
“Saya syak mereka terlibat dengan kegiatan penyeludupan kerana mana mungkin 3,400 peket boleh habis dengan cepat.
“Peranan sebagai pemborong ini besar apabila kita dapat menyimpan stok yang banyak, pasti ada yang akan menawarkan harga yang tinggi sehingga mencecah RM100 sekotak,” ujarnya.
Menurut Man, sebagai pemborong, dia mengakui bahawa mereka akan menghabiskan bekalan minyak masak dengan cepat agar boleh mendapatkan stok baharu daripada pengilang.
Katanya, disebabkan tuntutan itu, segelintir pemborong sanggup menjual minyak masak peket kepada penyeludup.
“Perkara ini sudah lama berlaku terutamanya di Kelantan. Isu ini timbul semula apabila ramai yang mengatakan stok habis.
“Sebelum ini, penyeludupan tetap berlaku, namun tidak pernah hingga menjejaskan stok.
“Hakikatnya bekalan minyak masak masih banyak di negara kita. Cuma penjualannya dikawal bagi mengelakkan lebih banyak ketirisan berlaku di kemudian hari,” ujarnya.
Harga minyak masak keluaran Thailand pernah mencecah 80 bath (RM9.71) sekilogram.














