fbpx

Budak autisme tular didera guru rupanya dihalang bertindak agresif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBERANG PERAI – Polis mengesahkan tindakan seorang guru pendidikan khas memegang telinga seorang kanak-kanak perempuan autisme sehingga lebam dipercayai bertujuan menenangkan mangsa daripada terus bertindak agresif.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, pihaknya telah menerima laporan daripada ibu mangsa berhubung kejadian itu di Balai Polis Seberang Jaya pada 19 Julai lalu.

Menurutnya, kejadian tersebut juga tular selepas gambar kanak-kanak perempuan yang didakwa akibat didera guru sebuah sekolah pendidikan khas dimuat naik dalam satu laman Facebook milik Mona Din baru-baru ini.

“Hasil siasatan polis, mangsa merupakan kanak-kanak autisme dan telah mengikuti kelas pendidikan khas di salah sebuah sekolah pendidikan khas di Seberang Jaya.

“Kejadian disyaki berlaku pada 19 Julai, lebih kurang 9.30 pagi di mana semasa kejadian mangsa dikatakan bertindak agresif di dalam kelas hingga menyebabkan beberapa pelajar lain takut dan menangis.

“Akibat tindakan tersebut, suspek seorang guru perempuan berusia 30-an telah datang dan memegang kedua-dua telinga mangsa untuk mengenangkan mangsa.

“Akibat daripada perbuatan suspek, mangsa telah mendapat kesan lebam pada kedua-dua belah telinga,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, mangsa kemudiannya telah dihantar ke Hospital Bukit Mertajam untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Susulan kejadian ini, polis telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” jelas beliau yang memaklumkan bahawa siasatan lanjut bagaimanapun masih dijalankan ketika ini.

Justeru, Cheng San turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menularkan berita yang tidak sahih seperti itu kerana boleh menyebabkan kekeliruan dan kegelisahan kepada masyarakat setempat.

Terdahulu, Kosmo! Online pada Isnin lalu melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun yang juga autisme mengalami kecederaan di telinga, didakwa didera oleh guru dalam kejadian di sebuah sekolah dipercayai di Pulau Pinang.

Maklumat berkenaan kes tersebut dimuat naik oleh seorang pengguna Facebook, Mona Din malah hantaran wanita itu turut dikongsikan oleh Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr. Maszlee Malik. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI