SEPERTI santun pantun perkahwinan yang berbunyi, anak itik di celah pandan, sambil berenang berdua-dua; sama cantik sama padan, bagai pinang dibelah dua. Begitulah gambaran penyatuan dara popular dengan teruna impiannya, Wany Hasrita dan pasangan, Mohd. Al-Adib Fahmi Harun.
Sah bernikah pada Jumaat lalu dengan dua kali lafaz, Wany selamat bergelar isteri kepada Mohd Al-Adib.
Benarlah kata pujangga, jodoh bukan tentang siapa cepat dia dapat. Melainkan memantaskan diri dengan taat sehingga tibanya jodoh yang tepat.
Wany atau nama sebenarnya, Nurshazwany Hasrita Hasbullah kini memasuki fasa baharu, bergelar isteri kepada juruterbang yang berpangkalan di Kuching, Sarawak.
Bercakap tentang hari mukanya penyanyi berusia 30 tahun itu sudah berbincang dengan suami tentang masa depan.
Jika suatu hari nanti harus perlahan-lahan meninggalkan bidang dicintai untuk berada di pangkuan suami sepenuhnya dengan berpindah ke Sarawak, Wany sudah ada persediaan.
“Benda ini kami dah pun berbincang tetapi buat masa sekarang, masing-masing pun faham ada kewajipan yang perlu diselesaikan.

“Insya-Allah, kita dah rancang untuk ‘settle down’ tapi, bukan dalam masa yang terdekat,” katanya kepada HibGlam.
Dua hari selepas akad nikah, pelantun lagu Menahan Rindu itu turut diraikan dalam sebuah majlis kesyukuran yang diadakan di Forest Valley, Selangor hujung minggu lalu.
Diajukan pertanyaan apakah keperibadian Wany yang menyebabkan Al-Adib terpaut hati sejak mula berkenalan pada 2019, lelaki itu berkata, sikap baik hati menjadi antara faktor melembutkan hatinya mendekati Wany biarpun berjarak lokasi.
“Saya terpikat dengan isteri kerana dia mempunyai hati yang baik dan tidak gemar bercakap buruk mengenai orang lain.
“Kalau ada benda buruk yang jadi pada dia, dia hanya akan cakap ‘alhamdulillah’ dan tiada merungut. Itu penyebab paling besar yang buat saya tertarik dengannya,” katanya.

Berahsia
Melanjutkan bicara, Wany bagaimanapun kurang bersetuju apabila ada rungutan segelintir pihak menuduhnya terlalu berahsia tentang perkahwinan.
Tegas Wany, dia mempunyai sebab tersendiri mengapa mengambil pendekatan mengunci mulut tentang perancangan perkahwinannya.
Perkenalan dengan Adib membuatkan dirinya lebih matang mendepani hari mendatang termasuk kesediaan dirinya berkongsi bersifat peribadi kepada umum selepas ini.
Bahkan ibu, Norita Jaafar memahami statusnya sebagai isteri orang sekarang.
“Sejujurnya, saya tinggal berdua dengan ibu sebelum ini membuatkan saya terfikir bahawa, memang tiada rahsia sangat antara kami (saya dan ibu). Apa pun yang jadi kepada saya sebelum ini, memang ibu tempat saya bercerita.
“Tapi, apabila mengenali Adib mungkin buat saya mula sedar, bukanlah dia (Adib) mengajar saya berahsia apa-apa daripada pengetahuan ibu. Tidak sama sekali, cuma mungkin orang kata, saya belajar untuk bercerita pada orang atau umum benda yang perlu sahaja.
“Orang yang biasa dengan saya atau memang dah kenal lama tahu, saya ini orangnya sangat ‘open book’ apabila berkongsi atau bercerita sebarang perkara.
“Sekarang ini, mungkin dah lain sedikit sebab suami dah ajar untuk bercerita hanya apabila perlu,” ulas Wany yang merupakan graduan Universiti Pengurusan dan Sains (MSU Shah Alam) dalam jurusan Sarjana Muda Sains Perubatan.
Wany juga menyambut baik peringatan netizen yang memintanya tidak terlalu berkongsi kebahagiaan rumah tangga dan hubungan romantis suami isteri dalam media sosial.
“Saya akan cuba yang terbaik dalam menjaga rumah tangga kami yang baharu dibina ini. Sebenarnya ibu saya juga selalu pesan, ‘bahagia jangan tunjuk, derita pun jangan tunjuk’.

“Apa pun, saya juga sebenarnya agak gementar nak bercakap mengenai perkara ini, sebab bimbang kalau-kalau terbuat juga. Tapi, saya pun setuju sebenarnya dengan peringatan netizen berhubung perihal tersebut,” ungkapnya.
Bergelar suami kepada seorang wanita yang bergelumang dalam dunia glamor yang umum mengetahui, penuh dengan sepak terajang tersendiri, Adib sedar situasi tersebut.
Dia berharap, semuanya berjalan dengan baik-baik sahaja pada masa hadapan.
“Asalkan, jangan sampai mengganggu kehidupan peribadi dan karier saya saja.
“Apa pun, syarat utama yang saya beritahu ialah labuhkan tudung.
“Itu paling utama,” kata Al-Adib lagi yang tidak lokek dengan senyuman saat melantunkan bicara.
Untuk syarat yang sememangnya menjadi ‘pakaian’ sehariannya itu, Wany tiada bangkangan bahkan berjanji sedaya upaya menunaikan permintaan suami.

Memasak, anak
Dijolok pertanyaan berbaur usikan tentang juadah air tangan dan perancangan keluarga, Al-Adib banyak berseloroh dalam berkata-kata.
“Tentang memasak, sekarang zaman sudah banyak berubah. Kemudahan juga sudah banyak. Ada Foodpanda dan GrabFood semua,” ujar Al-Adib berseloroh.
Wany dalam pada itu menyahut: “Bukan saya tak pandai memasak cuma sebelum ini tak selalu di dapur. Jadi, apabila tidak selalu itu yang kita tak berapa mahir (memasak).
“Sejujurnya, suami lagi hebat memasak dan selalu berada di dapur. Setakat ini, belum ada lagi juadah hasil air tangan saya yang sempat suami merasa.”
Al-Adib bagaimanapun mengakui Wany dalam proses menyesuaikan diri. Sebagai isteri, Wany akan terlazim dengan kerja-kerja di dapur selepas ini.
Sebelum menggulung perbualan, Wany sempat ditanya tentang perancangan cahaya mata.
“Kami tak tetapkan apa-apa. Kalau ada rezeki, ada lah,” tutupnya.















