fbpx

Ahli akademik, doktor Thailand desak batal kebenaran ganja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang kakitangan memeriksa pokok ganja di sebuah pusat tanaman di wilayah Prachinburi pada 14 Januari 2021. – AFP

BANGKOK – Kira-kira 851 doktor dan alumni fakulti perubatan sebuah universiti di Thailand melancarkan kempen  mendesak kerajaan membatalkan undang-undang membenarkan penggunaan ganja demi keselamatan golongan muda.

Menurut laman berita Thaiger, kumpulan daripada  Fakulti Perubatan Hospital Ramathibodi, Universiti Mahidol itu menjalin kerjasama dengan Persatuan Pakar Perubatan Forensik Thailand untuk menggesa kerajaan menyemak semula dasar tersebut.

Presiden persatuan berkenaan, Smith Srisont turut mengeluarkan dokumen memaparkan senarai permintaan terhadap kerajaan bagi menuntut ‘sifar ganja’. Ia turut disertakan senarai 851 doktor dan alumni Universiti Mahidol yang bersetuju dengan langkah tersebut.

Kumpulan itu mendesak kerajaan menghentikan kebenaran penggunaan ganja selain bersikap terbuka kepada sektor awam dan swasta untuk membahaskan dasar serta sekatan terhadap penggunaan ganja di Thailand.

Tambahnya, mereka  melihat trend penggunaan meningkat termasuk penyalahgunaan ganja  terutamanya dalam kalangan remaja dan kanak-kanak  sekali gus menyimpang daripada tujuan asal narkotik berkenaan iaitu perubatan.

“Ganja dikeluarkan daripada senarai Narkotik Kementerian Kesihatan Awam pada 9 Jun lalu, namun tiada dasar  dilancarkan untuk mengawal penggunaan ganja bagi tujuan hiburan peribadi.

“Kekurangan arah tuju undang-undang ini menjadikan ganja lebih mudah diperoleh kanak-kanak dan remaja,” kata jurucakap Persatuan Pakar Perubatan Forensik Thailand menerusi dokumen yang diterbitkan.

Tambah dokumen tersebut, kerajaan dan jabatan  berkaitan perlu berhenti mengancam kesihatan rakyat secepat mungkin.

“Penggunaan ganja untuk tujuan perubatan perlu dilakukan secara terkawal untuk manfaat terbaik dan keselamatan seperti yang didakwa oleh kerajaan sebelum ini,” jelas dokumen tersebut. 

Kumpulan tersebut mengajak para doktor dan alumni  bersetuju untuk memasukkan  nama mereka, di samping melaksanakan kempen menerusi laman web Change.org bagi membolehkan orang awam turut mengundi.

Sasaran kempen tersebut adalah untuk mendapatkan 15,000 nama dan setakat ini, lebih 10,800 orang telah menurunkan tandatangan mereka. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI