fbpx
SKUAD B-16 Malaysia diharap memperoleh tuah apabila mengharungi kempen Piala AFF B-16 yang berlangsung Jokjakarta pada 31 Julai ini.

Giliran skuad B-16 jejak tuah di bumi Indonesia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) terus mengharapkan ‘tuah’ bumi Indonesia dengan skuad bawah 16 tahun (B-16) diharap dapat mengikut jejak langkah ‘abang’ pada kempen Piala AFF B-16 yang berlangsung Jokjakarta pada 31 Julai ini.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd. Yusoff Mahadi ber­kata, kejayaan yang skuad bawah 19 (B-19) negara dengan mencipta kejutan bergelar juara Piala AFF B-19 perlu dijadikan pemangkin semangat buat barisan pemain belia negara nanti.

Bagaimanapun, Yusoff me­negaskan, tiada sebarang sasaran diletakkan buat barisan anak buah Osmera Omaro, tetapi optimis mereka mampu memberi tentangan sengit, sekali gus dalam usaha melangkah ke pu­singan seterusnya kelak.

“Pasukan B-16 negara sedang giat menjalani latihan sehingga 29 Julai nanti sebagai persediaan sebelum berangkat ke Jogjakarta bagi mengharungi kejohanan Piala­ AFF B-16.

“Sudah tentu FAM mengharap­kan skuad B-16 dapat seperti yang dilakarkan oleh skuad B-19 negara dengan menjuarai Piala AFF di Jakarta, Indonesia baru-baru ini.

“Saya percaya kecemerlangan yang ditampilkan dapat memberi motivasi kepada pasukan adik mereka untuk bergelar juara selepas ini,” katanya ketika ditemui pemberita kelmarin.

Mengulas lanjut, Yusoff me­ngesahkan fokus utama skuad B-16 adalah untuk mengharungi kejohanan kelayakan Piala Asia B-17 2023 yang dijadualkan berlangsung di Jakarta pada Oktober depan.

“Aksi kelayakan Piala Asia B-17 lebih penting kerana kita perlu layak ke kejohanan utama tahun depan bagi mencerahkan peluang untuk ke Piala Dunia B-17 yang dijadualkan berlangsung di Peru pada 2024,” katanya.

Sebagai rekod, Malaysia yang hadir dengan status juara bertahan telah diundi dalam kumpulan C bersama Kemboja, Myanmar dan Laos.

Pada edisi terakhir 2019, Malaysia berjaya menjuarai saingan Piala AFF B-16 buat kali kedua selepas menewaskan Thailand dengan keputusan 2-1 di pentas final.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI