BEIJING – Kementerian Pengurusan Kecemasan melaporkan kerugian ekonomi yang ditanggung oleh China akibat bencana alam adalah sekitar AS$13.13 bilion (RM58.48 bilion), lapor laman berita Wion News kelmarin.
Angka tersebut melibatkan bencana alam yang berlaku sepanjang enam bulan pertama tahun ini.
Jurucakap kementerian, Shen Zhanli berkata, banjir dan hujan batu adalah dua bencana alam paling biasa berlaku di China dari Januari hingga Jun 2022.
Bencana alam lain termasuk kemarau, cuaca sejuk beku, gempa bumi, salji serta kebakaran hutan dan padang rumput.
Sepanjang enam bulan pertama tahun ini, lebih 39.14 juta orang terjejas akibat bencana alam selain 178 kematian atau kes orang hilang serta penempatan semula 1.28 juta penduduk.
Menurut Shen, bencana alam memusnahkan 3.62 juta hektar tanaman dan menyebabkan lebih 18,000 kediaman musnah.
Di wilayah Sichuan, hujan ribut pada Ahad lalu menyebabkan bencana yang mengorbankan enam orang, manakala 12 yang lain dilaporkan hilang.
Menurut agensi berita Xinhua yang memetik pihak berkuasa tempatan, banjir kilat berlaku sekitar pukul 7 pagi (waktu tempatan). Paras air sungai meningkat secara tiba-tiba sehingga mengakibatkan banjir.
Hujan lebat melanda Daerah Autonomi Beichuan Qiang bermula pada pukul 8 pagi (waktu tempatan) Ahad lalu sehingga menjejaskan 13 perbandaran dan kira-kira 22,300 orang.
Enam individu maut dan 12 yang lain hilang apabila banjir memusnahkan kawasan Perbandaran Baishi juga di Sichuan.
Menurut Xinhua, pihak berkuasa telah menghantar lebih 400 anggota penyelamat untuk mencari mangsa yang dilaporkan hilang, membaiki jalan dan sistem komunikasi serta menjalankan usaha menyelamat lain.
Menurut laporan itu, lebih 1,300 individu telah dipindahkan termasuk 480 penduduk di Perbandaran Baishi. – Agensi