fbpx
Tiada satu makhluk pun yang wujud melainkan Allah pemberi rezekinya.

Rezeki berbeza kepada setiap orang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Setiap orang Allah berikan rezeki berbeza sama ada dari segi kewangan atau benda lain seperti anak dan sebagainya. Apa yang dimaksudkan dengan rezeki daripada perspektif Islam?

JAWAPAN:
Perkataan al-Rizq atau Melayu sebut rezeki bermaksud pemberian ataupun kurniaan, sama ada bersifat duniawi ataupun agama.
Segala yang boleh dimanfaatkan, sama ada boleh dimakan ataupun tidak boleh dimakan maka itu rezeki. (lihat: Abu al-Baqa al-Kafawi, al-Kulliyyat, 472. Beirut: Muassasah al-Risalah).
Ertinya segala yang kita miliki dari perkara bermanfaat ataupun memberikan kebaikan buat kita, sama ada di sudut keperluan dunia ataupun untuk agama, maka itu adalah kurniaan ataupun rezeki.
Rezeki bukan sahaja minuman, makanan, harta, kenderaan dan segala rupa bentuk kebendaan semata-mata, rezeki juga ilmu pengetahuan, kasih sayang, kebahagiaan, anak, isteri, kesihatan, keselamatan, kegembiraan dan seumpamanya.
Dalam hadis riwayat Muslim, Nabi SAW menyebut tentang Khadijah:
“Aku telah direzekikan cintanya”.
Dalam keghairahan insan mencari kurniaan dalam kehidupan dari segi harta, pasangan, kegembiraan, kebahagiaan dan segalanya, kadangkala mereka melupai sumber rezeki yang asal iaitu Allah SWT.
Ini sehingga seseorang seakan terasa dengan kemampuan dan kebijaksanaannya, dia mampu mengaut rezeki untuk dirinya.
Demikian tidak kurang pula ada yang apabila berpeluang memberikan kelebihan dimiliki kepada orang lain, menganggap seakan dialah punca rezeki yang telah dia dapat dengan kebijaksanaan dan kekuatan yang ada.
Ini persis seperti Qarun yang dimusnahkan oleh Allah. Firman Allah: (maksudnya) “Qarun berkata; Aku diberikan harta kekayaan ini hanyalah disebabkan kepandaian yang ada padaku. Tidakkah dia (Qarun) mengetahui bahawa Allah telah membinasakan sebelumnya, umat-umat yang telah lalu, mereka itu lebih kuat daripadanya dan lebih banyak mengumpulkan harta? dan (ingatlah) orang-orang yang berdosa (apabila mereka diseksa) tidak lagi ditanya tentang dosa-dosa mereka, (kerana Allah sedia mengetahuinya). Kemudian Qarun keluar kepada kaumnya dengan memakai perhiasannya. (pada saat itu) Berkatalah orang-orang yang semata-mata inginkan kesenangan kehidupan dunia; Alangkah baiknya kalau kita ada kekayaan seperti yang didapati oleh Qarun! Sesungguhnya dia adalah seorang yang bernasib baik. Dan berkata pula orang-orang yang diberi ilmu (antara mereka): Janganlah kamu berkata demikian, pahala daripada Allah lebih baik bagi orang yang beriman dan beramal soleh; dan tidak akan dapat menerimanya melainkan mereka yang sabar.” (Surah al-Qasas: 78-80).
Agar manusia ingat, Allah menamakan diri-Nya al-Razzaq (dibaca ar-razzaq). Ini merupakan salah satu dari nama-nama Allah yang indah (Asma’ Allah al-Husna).
Al-Razzaq bermaksud Maha Pemberi Rezeki.
Allah memberikan kepada sesiapa sahaja yang dipilih dan juga menetapkan kadar pemberian menurut yang dikehendaki.
Tiada satu makhluk pun yang wujud melainkan Allah pemberi rezekinya.
Allah menentukan kadar rezeki dengan kehendak-Nya yang sebahagiannya itu dikaitkan dengan peraturan alam yang Dia tetapkan.
Sesiapa yang keluar mencari rezeki dengan memenuhi percaturan alam ini, maka Allah membuka jalan rezeki untuk hamba itu.
Sesiapa tidak berusaha, maka tiada rezeki untuknya. Pun begitu, Allah boleh melakukan dengan kehendak-Nya luar daripada kebiasaan percaturan alam.
Jenis-jenis rezeki yang Allah kurniakan juga berbeza antara satu sama lain. Ada yang diberikan harta, tidak berikan zuriat. Ada yang diberikan harta dan zuriat, tidak diberikan kebahagiaan ataupun ketenangan dalam hidup.
Ada yang diberikan kesihatan, tidak diberikan harta. Ada yang diberikan harta, tidak diberikan kasih sayang. Ada yang diberikan ilmu, tidak diberikan harta.
Ada yang diberikan harta, tidak diberikan penghormatan dan maruah. Ada diberikan penghormatan, tidak diberikan harta. Begitulah seterusnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN