KOTA BHARU – Kehadiran pesakit yang terlalu ramai telah menyebabkan petugas Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) memindahkan sebahagian daripada mereka ke rumah sakit di daerah berdekatan bagi mengurangkan kesesakan di wad.
Tinjauan mendapati tindakan segera itu dilihat telah berjaya mengurangkan kesesakan dan menjadikan keadaan di luar wad pediatrik terkawal.
Selain itu, pihak HRPZ II juga menyediakan banyak katil-katil khas di luar unit kecemasan hospital untuk kegunaan pesakit yang menerima rawatan di unit tersebut sebelum ditempatkan di wad-wad.
Seorang pelawat, Zuraida Jusoh, 57, berkata, salah seorang ahli keluarganya yang mengalami demam dan batuk telah dihantar ke Hospital Pasir Mas selepas dimaklumkan wad HRPZ II penuh.
Katanya, ahli keluarganya perlu menunggu hampir sejam sebelum dipindahkan.
“Dalam tempoh itu, ramai pesakit yang mendaftar di bahagian kecemasan sebelum mereka ditempatkan di wad.
“Saya difahamkan semua hospital di Kota Bharu sudah penuh kerana makin ramai penduduk yang menghidap demam dan batuk yang kritikal sehingga sesak nafas,” katanya.
Seorang pesakit di HRPZ II, Ahmad Ali, 57, berkata, dia yang menghidap penyakit jantung dan paru-paru berair datang pada waktu tengah hari untuk berjumpa doktor bagi mengelakkan kesesakan.
“Tengah hari pesakit kurang berbanding pada waktu pagi. Kebanyakan yang datang kerana demam dan batuk.
“Saya pun bimbang dengan kesihatan sendiri dan takut berjangkit dengan mereka,” katanya.














