fbpx

Ujian penerbangan jet KF-21 Korea Selatan berjaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jet pejuang KF-21 lulus dalam ujian penerbangan pertamanya, semalam. - Pentadbiran Program Pengambilalihan Pertahanan

SEOUL – Korea Selatan melengkapkan penerbangan sulung jet pejuang buatan tempatan,  KF-21 semalam ketika Seoul berusaha mengukuhkan keupayaan pertahanan di tengah-tengah ancaman negara jirannya, Korea Utara, lapor agensi berita United Press International.

Jet KAI KF-21 Boramae itu berlepas dari sebuah pangkalan tentera udara di Sacheon, kira-kira 297 kilometer (km)  ke selatan Seoul. Ia berjaya melengkapkan penerbangan selama lebih 30 minit, kata Pentadbiran Program Pengambilalihan Pertahanan dalam satu kenyataan.

Aset yang dibangunkan oleh syarikat Korea Aerospace Industries itu merupakan sebahagian daripada projek bernilai AS$6.67 bilion (RM29.67 bilion)  bertujuan untuk menggantikan pesawat pejuang lama F-4 dan F-5.

Ia juga merupakan alternatif lebih murah berbanding jet halimunan buatan Amerika Syarikat, F-35 Lightning II.

Program KF-21 bermula pada 2015 dan berdepan pelbagai cabaran termasuk pembayaran tertunggak daripada rakan kongsi pembiayaan, Indonesia serta keengganan Washington berkongsi paten teknologi utama.

Ujian penerbangan dijangka berlangsung selama empat tahun dengan kira-kira 2,000 latihan tempur dilakukan sebelum pengeluaran besar-besaran bermula. Ia dijadual memulakan perkhidmatan pada 2026.

Korea Selatan menganggap Boramae sebagai pesawat pejuang generasi ke-4.5, versi kurang halimunan bagi generasi kelima F-35.

Seoul sebelum ini melancarkan prototaip KF-21 pada April 2021 dan mengumumkan pelan untuk mempunyai sekurang-kurangnya 40 jet sedia tempur menjelang 2028 dan 120 pada 2032. 

Menerusi kejayaan penerbangan KF-21, Korea Selatan muncul sebagai negara kelapan dunia yang membangunkan jet pejuang supersonik secara domestik selain Amerika Syarikat, Russia, China, Jepun, Perancis, Sweden dan konsortium Eropah. – Agensi 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI