fbpx

Liga Super: JDT mandi peluh lagi, robek gawang Penang FC 1-0

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PASUKAN JDT hanya meraih kemenangan 1-0 ketika menentang Penang FC di Stadium Bandaraya George Town di sini malam tadi

GEORGE TOWN – Pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) sekali lagi terpaksa bermandi peluh apabila hanya berpeluang merobek kemenangan 1-0 pada perlawanan ke-12 menentang Penang FC di Stadium Bandaraya George Town di sini malam tadi.

Gol tunggal Skuad Harimau Selatan itu hadir pada minit ke-69 yang disempurnakan penyerangnya dari Sepanyol, Fernando Rodriguez Ortega menerusi tandukan tepat ke dalam gawang tuan rumah.

Pada babak pertama perlawanan, kedua-dua pasukan bermula garang apabila pemain melakukan asakan bertali arus bagi mendapatkan gol tunggal mereka.

Dalam perlawanan tersebut, pasukan kendalian Ketua Jurulatih Zainal Abidin Hassan ternyata berjaya mempamerkan aksi cemerlang dan semangat berpasukan tanpa kelibat kapten, Endrick De Santos.

Pemain import dari Brazil itu sebelum ini dikecam hebat penyokong skuad Harimau Kumbang selepas mempamerkan prestasi hambar pada perlawanan menentang Selangor apabila tewas 0-2 minggu lalu.

Bagaimanapun, pada aksi malam tadi, pasukan tuan rumah dilihat banyak memperoleh peluang jaringan gol menerusi hasil sepakan Muhammad Gopi Rizqi, Muhamad Faizat Mohamad Ghazali dan T. Saravanan namun semuanya setakat menjengah tepi dan atas gawang lawan.

Meskipun banyak halangan dan asakan daripada pemain JDT terutama ayam tambatannya, Fernando Martin Forestieri namun Skuad Penang FC berupaya menjalankan tugas dengan baik serta berjaya mempamerkan tahap disipli yang tinggi.

Pada minit ke-44, sepakan percuma daripada Forestieri nyata tidak berhasil apabila tendangannya hanya sempat menjengah di atas palang kubu tuan rumah.

Memasuki babak kedua, cubaan Penang FC menerusi sepakan percuma pada minit ke-54 oleh penyerang dari Lubnan, Hilal Ah-Helwe cukup mengecewakan kira-kira 6,252 penyokong yang hadir apabila tendangannya hanya mengunjungi di atas gawang lawan.

Cubaan Penang FC untuk mendapatkan jaringan penyamaan pada minit ke-89 juga tersasar hasil tumbukkan keluar penjaga gol JDT, Mohd. Farizal Marlias.

Bagaimanapun, kemenangan berpihak kepada JDT dengan keputusan kekal 1-0 sehingga tiupan wisel terakhir dibunyikan.

Dengan kemenangan tersebut, JDT kekal memimpin takhta Liga Super dengan mengumpul keseluruhan 29 mata dalam kemenangan kesembilan itu. KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI