fbpx

689 kes dera kanak-kanak di Perak dilaporkan sepanjang 2020 hingga 2021

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wan Norashikin bercakap pada Sidang DUN di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh hari ini. /FOTO MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA

IPOH – Sebanyak 689 kes penderaan kanak-kanak dilaporkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perak antara 2020 hingga tahun lalu.

Pengerusi Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat negeri, Datuk Dr. Wan Norashikin Wan Noordin berkata, daripada jumlah berkenaan 342 kes penderaan kanak-kanak dilaporkan berlaku pada 2020, manakala 347 kes pula pada tahun lalu.

Menurut Wan Nor Ashikin, sebanyak 52 laporan kes penderaan dilaporkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perak dalam tempoh sama, yang mana 29 kes dilaporkan pada 2020 dan bakinya 23 kes pada 2021.

“Bagi kanak-kanak kecil mereka tidak tahu untuk mengatakan yang dia sakit dan susah, tapi kita sebagai dewasa perlu melihat pada kebajikan mereka yang bermaksud kita menjadi masyarakat yang peduli kepada komuniti kita.

“Jadi adalah menjadi tanggungjawab kita untuk melaporkan kes-kes berkenaan kepada pihak berkuasa,” katanya bagi menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Leow Thye Yih berhubung situasi kes penderaan di negeri ini pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Norashikin berkata, terdapat beberapa faktor menyebabkan berlakunya isu kes penderaan kanak-kanak di negeri ini antaranya perbalahan keluarga yang kerap kali berlaku.

“Punca lain seperti masalah penceraian ibu bapa, ibu tunggal, ibu ditinggalkan atau berpisah dengan suami tanpa melalui prosedur yang sah turut mendorong berlakunya penderaan kanak-kanak.

“Selain itu, masalah kewangan serta tingkah laku dan sikap ibu bapa atau penjaga yang mengamalkan gaya hidup yang tidak sihat juga turut menyumbang kepada berlakunya penderaan golongan yang diamanahkan kepada kita ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI