fbpx
Seorang wanita menjual anak pokok ganja di tepi jalan berhampiran bandar Hatyai kelmarin. – SHAHIR NOORDIN

Penduduk bimbang tokan dadah rancak seludup ganja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PADANG BESAR – Penduduk di sini menyuarakan kebimbangan kegiatan penyeludupan ganja mahupun produk berasaskan kanabis akan menjadi semakin rancak di kawasan sempadan.

Rata-rata mereka khuatir bahan itu mudah diperoleh terutama di negeri-negeri yang terletak bersempadan sekiranya isu penyeludupan ganja tidak dikekang sepenuhnya.

Penduduk dan peniaga di Padang Besar yang mahu dikenali sebagai Liana, 45, berkata, kawasan kampungnya menjadi antara lokasi panas kegiatan pe­nyalahgunaan dadah dan ketum.

“Pada masa ini pun, ramai tokan dadah dan ketum yang masuk kampung disyaki untuk mengedar bahan khayal itu.

“Saya bimbang kerana dua anak lelaki saya yang berusia lingku­ngan 20-an baru sahaja keluar dari pusat pemulihan dadah swasta baru-baru ini kerana masalah ketagihan dadah,” katanya di sini baru-baru ini.

Katanya, dia sedih dengan apa yang berlaku kepada dua anak­nya itu dan menaruh harapan tinggi agar mereka pulih selepas menerima rawatan.

“Kedua-dua anak saya ini ke­tagih syabu sejak kira-kira tiga tahun lalu sehingga si adik jadi seperti orang tidak betul. Mereka terpengaruh dengan kawan-kawan dan saya percaya di dalam kampung ini pun ramai tokan yang mengedar dadah.

“Saya tidak dapat bayangkan bagaimana keadaan anak-anak muda lain terutama di negeri bersempadan jika kegiatan penyeludupan dadah ini menjadi semakin rancak susulan kebenaran tanam ganja di Thailand,” ujarnya.

Benih pokok ganja turut dijual di Thailand.

Seorang penduduk Chuping, Hamid Ahmad, 59, berkata, dia bimbang penggunaan ganja akan menjadi serius seperti air ketum selepas ini.

“Apabila Thailand halalkan tanam pokok ganja, kita risau ada pokok yang diseludup masuk untuk ditanam di sini.

“Setakat ini belum menerima maklumat terdapat penjualan produk berasaskan ganja dari Thailand di negara ini.

“Bagaimanapun, kita bimbang juga jika ada rakyat Malaysia yang beli produk berasaskan ganja itu dan membawa masuk ke Malaysia,” katanya.

Pengerusi Penggerak Penglibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta Perlis, Dr. Abdul Jalil Ramli turut menyuarakan kebimbangan sama jika bahan terla­rang itu terlepas masuk ke negara ini.

“Penduduk di sempadan terutama Perlis bimbang dengan situasi ini kerana turut mendedahkan golongan belia dan pelajar kepada ganja.

“Selain ganja, kita juga risau produk berasaskan ganja atau berperisa ganja akan turut di­seludup masuk ke Malaysia,” katanya.

Justeru, beliau berharap pihak berkuasa dapat mempertingkatkan penguatkuasaan di sepanjang sempadan negara dan ibu bapa juga perlu memainkan peranan penting dengan mengawasi anak-anak mereka daripada terjebak dengan najis dadah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN