fbpx
NATASHA CHARMAINE

Aturan terindah Natasha Charmaine

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TIDAK pernah bermimpi untuk berkahwin dalam waktu terdekat namun itulah yang sudah ditakdirkan buatnya. Tiada kata-kata paling tepat yang mampu menggambarkan perjalanan indah dalam hidup si cantik bernama Datin Natasha Charmaine ketika ini.

Demikian antara yang terbutir dari bibir wanita putih mulus itu saat berbicara tentang kitaran kehidupannya, daripada wanita solo bertukar menjadi seorang isteri sejak November tahun lalu.

Masakan tidak, sebelum ini sekitar awal Februari 2022, bekas pengacara Bintang Kecil RTM 2020 itu pernah memberitahu perkahwinan merupakan salah satu perkara yang tidak mungkin terjadi dalam tempoh terdekat.

Diam-diam sahaja sudah bergelar isteri, inilah yang dikatakan jodoh ketentuan Tuhan. Benarlah, jodoh, ajal dan maut ketetapan Ilahi.

Tidak menepis soalan mengenai kehidupan peribadi, anak kelahiran Kuching, Sarawak itu teruja dalam berkongsi perjalanannya sepanjang memegang portfolio seorang isteri.

KEHIDUPAN seharian Natasha berubah selepas mendirikan rumah tangga. Dia kini aktif menghadiri kelas agama bagi mendalami keindahan Islam. – FARIZWAN HASBULLAH

Isteri, mualaf

Pemilik nama penuh Natasha Charmaine Rickson itu bersyukur kerana urusan rumah tangganya berjalan dengan baik dan dikurniakan suami yang memahami dirinya.

“Jika nak cakap tentang status baharu, saya sudah mendirikan rumah tangga pada November lalu.

“Mungkin agak mengejutkan ramai pihak sebab saya bukan seorang yang suka berkongsi perihal peribadi dalam media sosial.

“Namun sekali-sekala adalah juga ‘belanja’ foto bersama suami dalam Instagram,” katanya teruja epada HibGlam baru-baru ini.

Tanpa memperincikan identiti suami, wanita berusia 30 tahun itu bertegas, dia masih Natasha yang sama seperti dikenali sebelum ini cuma jadual hariannya sahaja berubah.

“Biasalah, apabila sudah menjadi isteri, hidup saya berubah 180 darjah. Apa-apa, suami jadi keutamaan.

“Tawaran kerja pun saya agak memilih dan hadkan supaya tidak terlalu mengganggu kehidupan rumah tangga tetapi saya seronok dengan dunia baru ini,” ujarnya.

Wanita berketurunan Iban dan Bidayuh itu turut teruja berkongsi pengalamannya sebagai wanita mualaf.

Meskipun begitu, dia enggan meletakkan sebarang tekanan dalam melakukan sebarang perubahan drastik sebagai seorang Muslim.

“Alhamdulillah, kehidupan sebagai seorang mualaf sangat indah. Suami banyak mengajar dan saya juga kini mengikuti kelas agama.

“Ustazah yang mengajar ada juga memuji saya seorang fast learner, seronok bila dengar perkara itu.

“Pengalaman menunaikan umrah bersama suami baru-baru ini juga sangat menakjubkan.

“Islam itu indah, namun semua agama pun ajar hamba-Nya buat perkara baik. Doakan saya ya,” tuturnya.

SEJAK bergelar penerbit, Natasha kini semakin bersemangat untuk mengeluarkan lebih banyak naskhah berkualiti pada masa akan datang.

Majukan filem

Teruja bercerita tentang kerjaya terbarunya sebagai penerbit telefilem, tugasan tersebut merupakan satu pengalaman hebat buatnya sebagai anak seni.

“Jujurnya sangat teruja bercampur gementar ketika ditawarkan untuk menerbitkan telefilem 7 Minggu Sebelum Kahwin ini bersama KRU Studios.

“Alhamdulillah telefilem ini membariskan beberapa nama besar dalam industri seperti Nora Danish dan MK K-Clique cuma mungkin baru sahaja ditayangkan kurang dua minggu dan momentumnya agak perlahan sedikit.

“Namun ini merupakan sesuatu yang berbeza daripada kerja-kerja sebelum ini. Pernah juga terbitkan beberapa program televisyen sebelum ini tetapi berbeza dengan projek telefilem sebegini.

“Bila pertama kali mencuba sesuatu yang baru, banyak saya belajar dan terokai terutama dalam bidang perfileman tempatan,” katanya.

Sementara itu, dia mengakui tugas sebagai penerbit telah menyemarakkan semangatnya untuk sama-sama membangunkan perfileman tempatan.

Biarpun baru pertama kali menggalas tanggungjawab sebagai penerbit, Natasha sedar, banyak yang perlu dilakukan penggiat seni bagi mengangkat lagi industri perfileman tempatan ke peringkat lebih tinggi.

“Saya rasa industri seni perfileman kita perlu lebih terbuka menjalin kerjasama dengan produksi luar.

“Mungkin kerjasama tersebut akan memberi lebih banyak idea dan bajet yang besar boleh disalurkan kerana dalam industri ini kita tak boleh kerja secara individu sahaja atau pentingkan diri.

“Jadi tidak salah sekiranya saya memasang impian untuk majukan industri filem walaupun saya masih kerdil dalam bidang ini,” tutupnya.

NATASHA mengakui tugas sebagai penerbit telah menyemarakkan semangatnya untuk sama-sama membangunkan perfileman tempatan.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN