PETALING JAYA – Peningkatan kes demam, batuk dan selesema sejak kebelakangan ini disebabkan kebanyakan aktiviti termasuk pekerjaan dan persekolahan telah kembali beroperasi sepenuhnya.
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr. Koh Kar Chai berkata, kes meningkat berbanding pada masa puncak pandemik kerana kebanyakan orang ramai berada di rumah dalam keadaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika itu.
“Ini menyebabkan tahap imuniti kepada penyakit berjangkit menjadi rendah. Sekarang ramai orang telah mula bekerja dan bersekolah, jadi memang akan ada peningkatan kes-kes penyakit berjangkit.
“Gejala-gejala tersebut (akibat demam, batuk dan selesema) bukan lebih teruk, tetapi lebih banyak dari segi nombor (jumlah) jangkitan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Beliau berkata, MMA bagaimanapun sedang membuat kajian untuk memastikan jenis ubat-ubatan yang mungkin diperlukan oleh klinik-klinik swasta pada masa ini berikutan peningkatan kes demam, batuk dan selesema.
Menurut beliau, pelepasan stok penimbal ubat-ubatan seperti yang diumumkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) adalah sebagai langkah jangka masa pendek.
Justeru, beliau menasihati orang ramai hanya membeli ubat-ubatan untuk demam, batuk dan selesema mengikut keperluan dan tidak membeli terlalu banyak untuk dijadikan simpanan.
“Kebanyakan ubat-ubatan yang terlibat adalah ubat untuk mengurangkan simptom. Jika ingin memperolehi ubat-ubatan tersebut, belilah apa yang diperlukan sahaja.
“Tidak payah beli banyak untuk simpanan. Kalau demam kuat, jangan lupa minum banyak air dan mandi jika perlu,” katanya. -KOSMO! ONLINE














