fbpx

Bukan masa nak tamak, bolot semua tawaran – Fasha Sandha

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FASHA SANDHA

KUALA LUMPUR – Aktres versatil Fasha Sandha mengakui sekarang sudah bukan masa untuknya membolot semua tawaran lakonan semata-mata demi mengejar populariti atau bayaran lumayan.

Kata Fasha, situasi sedemikian pernah dilalui ketika zaman kemuncak kerjaya lakonannya beberapa tahun lalu. Di sebalik penat lelah menjayakan semua tawaran yang tidak pernah berhenti, dia bagaimanapun menyedari seperti ada sesuatu yang tidak kena dengan dirinya.

“Kalau dulu memang saya jenis tak pilih ‘job’ (tawaran), terima sahaja apa yang datang sampai kadang-kadang terkejar-terkejar dan tiada masa untuk diri sendiri.

“Tapi sekarang, benda macam tu sudah tidak boleh saya praktikkan lagi. Zaman itu sudah lama berlalu. Saya lebih rela terima satu naskhah yang beratus-ratus episod panjangnya dan melepaskan tawaran lain demi kualiti kerja.

“Mana-mana tawaran yang datang serentak, saya akan tengok dulu dan pilih salah satu yang bersesuaian. Kita pun tak nak susahkan pihak lain kalau jadi apa-apa masalah (disiplin) di kemudian hari nanti,” katanya.

Fasha atau nama sebenarnya Nur Fasha Sandha Hassan, 38, ditemui pada majlis tontonan episod kemuncak drama bersiri Dendam Seorang Isteri bertempat di Panggung Asia, di sini baru-baru ini.

Mengulas mengenai disiplin dan komitmen kerjaya yang diberikan 100 peratus serta dicontohi anak seni lain, Fasha menyifatkan cara kerja yang diamalkan selama ini menjadi resipi pihak produksi senang bekerjasama dengannya.

“Saya sangat berbesar hati apabila masih diterima dan diberikan pelbagai peluang lain sepanjang berada dalam bidang seni sejak 16 tahun lalu.

“Apa yang paling penting ialah keikhlasan kita dalam melakukan sesuatu tugas yang diberikan tak kira dalam lakonan atau bidang lain.

“Saya percaya untuk terus berjaya, perlu mengekalkan cara kerja dan berdisiplin dalam menjayakan sesuatu naskhah.

“Tak susah pun hendak bekerja dengan saya, cuma saya tidak suka membuat orang menunggu. Sejak kecil dan di sekolah, saya sudah diterapkan dengan disiplin yang tinggi iaitu apabila dilantik menjadi pengawas,” katanya.

Berkongsi mengenai kejayaan naskhah terbabit, Fasha tidak menjangka sambutan yang memberangsangkan daripada penggemar drama tempatan.

“Alhamdulillah, saya sendiri tidak sangka daripada 80 episod, akhirnya kami menambah kepada 85 episod pula.

“Setiap naskhah yang saya jayakan mempunyai cabaran dan kelebihan tersendiri. Bukan mudah untuk saya menjayakan dua watak dalam masa sama.

“Lebih menarik, drama tersebut turut mencatatkan jumlah rating tertinggi iaitu 5.5 juta tontonan. Selepas sekian lama, akhirnya naskhah ini menamatkan siaran pada Jumaat lalu,” ujarnya gembira. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI