fbpx
PARA pemain Malaysia meraikan kejayaan muncul sebagai juara selepas menewaskan Laos 2-0 pada aksi final Piala AFF B-19 di Stadium Patriot Chandrabaga, Jakarta kelmarin. – AFF

Hassan Sazali Waras ingatkan skuad B-19 tidak terbuai menjulang piala

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SKUAD bawah 19 (B-19) tahun negara tidak boleh terbuai de­ngan kejayaan menjulang trofi Piala AFF B-19 edisi 2022, sebaliknya memberi tumpuan pada persiapan mengharungi kelayakan Piala AFC B-20 2023 pada September depan.

Peringatan tersebut disampaikan oleh ketua jurulatih, ­Hassan Sazali Waras selepas menyaksikan anak-anak buahnya menamatkan penantian empat tahun dengan menjuarai kempen Piala AFF B-19 edisi 2022 di Indonesia kali ini.

Sebagai rekod, skuad muda Harimau Malaya berjaya menjulang trofi Piala AFF B-19 buat kali kedua dalam sejarah selepas menewaskan Laos pada aksi final dengan keputusan 2-0 pada saingan di Stadium Patriot Chandrabaga, Jakarta kelmarin.

Kata Hassan, kemenangan tersebut boleh dianggap sebagai medan pemanas badan sebelum mengharungi saingan lebih penting pada kelayakan Piala AFC B-20 2023 di Mongolia selepas diundi dalam Kumpulan E.

“Saya anggap kejayaan ini cukup positif buat kami dan juga sebagai pemangkin semangat buat barisan pemain untuk tampil lebih cemerlang pada kempen kelayakan Piala AFC B-20 2023 pada September depan.

“Apa yang pasti, pujian wajar diberikan kepada pasukan yang tampil begitu berdisiplin sepanjang kejohanan dengan barisan kejurulatihan serta pihak pe­ngurusan memberikan komitmen jitu.

“Meskipun kami melakukan persiapan yang singkat, namun tiada apa yang mustahil.

“Saya optimis barisan pemain muda ini memiliki masa depan yang cerah di pentas bola sepak tempatan dan antarabangsa,” katanya selepas tamat perlawanan kelmarin.

Sementara itu, Hassan yang juga pengendali skuad Projek FAM-MSN pada saingan Liga Premier turut menganggap Indonesia sebagai ‘bumi bertuah’ buat skuad kebangsaan selepas me­ngulangi pencapaian menjuarai Piala AFF B-19 edisi 2018.

“Saya akui Indonesia memberi tuah tersendiri buat Malaysia kerana pada edisi 2018 ketika dianjurkan di sini, kami berjaya bergelar juara dan mengulangi pencapaian itu tahun ini.

“Malah, saya turut memiliki pengalaman ketika berada dalam barisan kejurulatihan ketika skuad bawah 23 (B-23) menang pingat emas Sukan SEA 2011 di Jakarta sewaktu diketuai Datuk Ong Kim Swee,” katanya.

POPULAR