JIKA diikutkan, bukan sekali dua aktres popular Nora Danish sering menjadi lapang sasar netizen melepaskan ‘peluru’ kecaman akibat keseksian yang kerap kali ditampilkan dalam media sosial.
Langsung tidak pernah rebah apatah lagi tunduk tanda menyerah, situasi tersebut bagaikan rutin buatnya acap kali memuat naik foto dan video untuk tatapan pengikut.
Apa sahaja yang dikongsikannya, ada sahaja yang tidak kena di mata warga maya terutama sekali melibatkan cara Nora berpakaian.
Seksi. Itulah topik perdebatan netizen sejak dahulu sampailah sekarang. Tidak cukup dengan isu seksi, dramatis itu juga turut menjadi mangsa hukuman hanya kerana gaya dan aksi ‘daring’ yang dipertontonkan.
Waktu bergulir, Nora yang popular menerusi drama siri fenomena Puteri suatu ketika dahulu hanya mengambil pendekatan enggan melayan apa sahaja yang dilemparkan terhadapnya.
Baginya, selain bertindak mengunci mulut tanda malas melayan kerenah netizen, dia juga lebih selesa menutup ruangan komen yang dirasakan toksik buatnya.

Terima teguran
Mengakui mula penat dengan apa yang tidak diendahkan selama ini, pelakon bertubuh genit itu mula berubah arah. Nora perlahan-lahan membuka hati dan mengambil perhatian terhadap setiap inci teguran yang diberikan kepadanya.
“Sejujurnya, saya jenis manusia yang tidak suka berlawan dengan netizen.
“Mereka ada hak untuk bersuara. Sebagai selebriti, saya mengaku apa sahaja yang dilakukan ada kaitan dengan masyarakat.
“Jika sebelum ini, saya ambil sikap tidak peduli dengan komen yang dilemparkan, kali ini teguran mereka membuatkan saya lebih berwaspada terutama dalam bab berpakaian,” katanya kepada Pose.
Dalam ruang masa terhad yang ada bersamanya, pemilik nama penuh Nora Mohd. Danish Hanif itu menyifatkan, bukan semua penampilannya tampak seksi, tetapi dia tiada hak untuk menutup mana-mana mulut dengan pandangan mereka tersendiri.
“Kalau ikutkan, tidak semua penampilan saya dalam media sosial nampak seksi tetapi saya sedar pandangan setiap orang berbeza.
“Secara tidak langsung membuatkan saya mahu jadi lebih berhati-hati sebelum memuat naik sebarang perkongsian selepas ini,” ujarnya.
Kata Nora lagi, dia bukanlah jenis manusia yang suka membaca setiap komen yang atau dimesej secara terus (DM) dalam Instagram, tetapi biasanya mendapat tahu reaksi negatif tersebut daripada pihak ketiga yang dekat dengannya.

Memahami, terima
Ditebak mengenai reaksi suami tercinta, Nedim Nazri yang turut terkena tempias peluru serangan netizen, Nora memanjat kesyukuran kerana cinta hatinya itu faham asam garam yang perlu ditempuhi tatkala mengahwini selebriti sepertinya.
“Saya bersyukur dan mujur suami jenis yang kuat serta malas nak melayan komen-komen negatif sedemikian.
“Apabila berkahwin dengan selebriti, dia kenalah terima dan faham selok-belok dunia seni ini macam mana.
“Alhamdulillah, suami okey dan boleh terima apa yang berlaku kepada saya. Lagipun, baginya banyak lagi perkara lebih penting yang perlu difikirkan dan diberi keutamaan sebagai ketua keluarga.
“Daripada memeningkan kepala yang akhirnya menyebabkan sakit, anggap sahaja komen yang diberikan itu sebagai sesuatu yang positif,” tuturnya.
Cukup tentang isu seksi dan kecaman, Nora pada masa sama berkongsi tentang aktiviti seninya yang terkini apabila baru sahaja tamat penggambaran filem berjudul 7 Minggu Sebelum Kahwin gandingan bersama hero yang juga penyanyi rap terkenal, MK K Clique.

Mendebarkan, berdarah
Bercerita lanjut, aktres berusia 40 tahun itu turut berkongsi pengalaman mendebarkan apabila mata sebelah kirinya berdarah ketika menjalani penggambaran naskhah arahan teraju utama, Eyra Rahman tersebut.
“Masa hari ketiga penggambaran, tiba-tiba mata saya keluar tompokan darah. Saya tidak pasti bagaimana boleh terjadi. Berlaku secara tiba-tiba dan berlarutan sampailah ke hari terakhir di set.
“Saya ditemani kru produksi bergegas mendapatkan rawatan di klinik berhampiran tetapi tiada perubahan dan tetap sama. Nasib baik mata saya tidak sakit dan dapat menjalani penggambaran filem tersebut dengan jayanya,” katanya.
Mengulas sedikit mengenai gandingannya bersama MK buat pertama kali, meskipun jarak usia mereka jauh berbeza, namun Nora langsung tidak berdepan sebarang masalah mencipta keserasian.
“Kebetulan kami sudah lama kenal. Jadi, tidak ada masalah menyesuaikan diri antara satu sama lain. Saya selesa digandingkan dengannya.
“Dia (MK) seorang insan yang sangat merendah diri dan sikapnya itu memudahkan saya bekerja dengannya,” katanya seraya menamatkan bicara.














