NAMA kumpulan Kristal dalam kalangan peminat muzik tanah air tidak perlu lagi diperkenalkan.
Bermula sejak di bangku sekolah sehingga hari ini, sudah lebih dua dekad Kristal yang dahulunya anak remaja menumpahkan kecintaan pelaku industri seni.
Lama berkelana, tenggelam timbul dek pasang surut gelombang muzik, Kristal pernah memanas mengumumkan penukaran vokalisnya, Lan kepada Ewal sekitar tahun 2020.
Kini, sudah dua tahun Ewal menyumbang suaranya sebagai penyanyi kumpulan yang memiliki empat orang ahli kumpulan itu.

– AFIQ RAZALI
Serasi bersama
Ewal atau nama sebenarnya Ikhwal Hafiz Ismail, mengakui, sebagai ahli yang boleh dikatakan masih hijau bersama Kristal, dia tidak akan sesekali mengubah identiti asal Kristal yang selama ini sinonim dengan genre ‘fast rock’.
Sebaliknya, penyanyi berusia 30 tahun itu berjanji akan teguh bersama Kristal untuk terus mencorakkan berkarya atas aliran serupa, tidak lari daripada apa yang selama ini diperjuangkan Kristal.
“Tugas saya kini adalah untuk memantapkan lagi Kristal tanpa perlu wujud perubahan drastik, terutama tentang hala tuju bunyi karya muziknya, Kristal tetap sama seperti dahulu.
“Cumanya nyanyian saya saja berubah serta aura lagu pun kena terkini. Tapi, saya selesa dan bersatu dengan kehendak setiap anggota lain,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Akui anak kelahiran Teluk Intan, Perak itu, masih ada segelintir peminat lama Kristal yang membuat perbandingan nyanyiannya dengan vokalis terdahulu.
Tidak menyimpan sekelumit rasa terkilan, Ewal enggan emosi dan semangatnya hanyut dengan perkara sedemikian.
“Sehingga kini memang masih ada yang membanding-bandingkan nyanyian saya dengan Lan tetapi saya tak kecil hati pun.
“Mereka berhak mempunyai cita rasa sendiri dan berdirinya saya sebagai vokalis bukan untuk menandingi sesiapa.
“Jadi, tidak kisahlah orang nak terus mengkritik, saya tetap dengan cara nyanyian tersendiri,” tegasnya.

selera khalayak.
Berubah
Sementara itu, pemain gitar utama Kristal, Rody, mendedahkan kumpulannya masih mencari-cari titik minat para pendengar muzik hari ini.
Ujarnya, agak sukar mencari material untuk dijadikan single kerana selera peminat muzik kini berubah-ubah.
“Zaman sekarang berlainan dengan zaman dahulu sebab muzik kita sudah pelbagai. Macam-macam genre dan irama.
“Sebagai penghibur, memang kami perlu kekal dengan identiti asal tetapi dalam masa sama harus juga mengikut kehendak dan selera pendengar.
“Jika kami abaikan elemen tersebut, risau tak dapat sambutan dan jadi percubaan yang gagal,” jelasnya.
Sama seperti Ewal, Rody bertegas, tidak akan melakukan perubahan drastik dalam penghasilan muzik bagi memastikan identiti asal Kristal tidak lari.
“Hala tuju bunyi dan karya muzik Kristal tetap sama. Mungkin kami akan menyelitkan elemen-elemen baharu dalam single yang akan datang mengikut arus semasa,” jelasnya.
Terbaharu, Kristal kini mucul dengan single baharu berjudul Cukup Aku Saja terbitan Rusa Music dan NVM Production. Lagu berkenaan turut diangkat menjadi runut bunyi drama Air Mata Allisya.















