fbpx

MBMB pasang ‘jerat’ tangkap anjing liar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seekor anjing liar yang berkeliaran di padang permainan di Taman Semabok Perdana, Melaka.

MELAKA – Kebimbangan lebih 2,000 penduduk di Taman Se­mabok Perdana di sini terhadap ancaman anjing liar di kawasan itu semakin kurang apabila Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) kini memasang sangkar perangkap haiwan itu.

Malah, pihak berkuasa tempatan (PBT) itu turut mengeluarkan 300 notis terhadap penduduk yang memelihara anjing tanpa lesen di taman berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri Duyong, Mohd. Noor Helmy Abdul Halem berkata, MBMB turut memantau kemun­culan anjing liar yang semakin meningkat di kawasan terbabit.

“MBMB telah meletakkan beberapa perangkap di kawasan perumahan bagi menangkap anjing-anjing liar.

“PBT juga ada menjalankan kerjasama dengan pencinta haiwan bagi membendung isu anjing liar ini seperti mengadakan Program Kembiri Anjing dan Kucing serta Program Anjing Ang­kat.

“Untuk rekod sejak awal tahun hingga Jun lalu, sebanyak 461 ekor anjing telah ditangkap oleh pasukan MBMB,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan Kosmo! me­ngenai kerisauan lebih 2,000 penduduk Taman Semabok Perdana terhadap ancaman puluhan anjing liar sehingga terpaksa menghalang anak-anak daripada bermain di padang permainan.

Menurut beliau, pihaknya te­lah menerima maklumat mengenai seorang peniaga parah akibat dirempuh seekor anjing di taman itu awal bulan ini.

“Hasil pemeriksaan MBMB, anjing yang terlibat dalam kes itu adalah haiwan peliharaan sebuah keluarga yang tak berlesen.

“Susulan itu pihak MBMB te­lah mengeluarkan notis 300 notis dan memberi tempoh masa 14 hari kepada pemilik untuk memohon lesen.

“Jika ingkar, tindakan boleh diambil di bawah Undang-undang Kecil Pelesenan Anjing. Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau penjara maksimum satu tahun atau ke­dua-dua sekali,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI