fbpx

Kanak-kanak 2 tahun terkunci dalam kereta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pasukan bomba cuba mengeluarkan kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang terkunci di dalam kereta Honda di Taman Kesidang, Melaka, hari ini.

MELAKA – Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun terkunci di dalam sebuah kereta Honda ketika ibunya keluar mengambil barang di Taman Kesidang, Bachang, di sini, hari ini. 

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi itu, mangsa bagaimanapun berjaya dikeluarkan dengan bantuan sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah. 

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Abdul Rahim Ismail berkata, panggilan kecemasan diterima pada pukul 8.34 pagi dan sepasukan enam anggota bersama-sama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi. 

“Setiba di lokasi kita dapati seorang kanak-kanak lelaki telah terkunci di dalam kereta jenis Honda dan kerja-kerja menyelamatkan mangsa dilakukan. 

“Mangsa berjaya dikeluarkan kira-kira sembilan minit kemudian dalam keadaan selamat dan diserahkan semula kepada penjaganya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. 

Mengulas lanjut beliau berkata, hasil soal siasat, kejadian dikatakan berlaku ketika ibu kanak-kanak tersebut keluar dari kenderaan untuk mengambil barang. 

“Selepas keluar, kereta itu secara tiba-tiba terkunci secara automatik menyebabkan anaknya terperangkap. 

“Kes sebegini kerap berlaku dan kita meminta agar para penjaga lebih bertanggungjawab dan tidak meninggalkan anak masing-masing seorang diri di dalam kereta,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI