fbpx

Tiada kartel kendali jemaah haji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Lembaga Tabung Haji (TH) menyangkal dakwaan terdapat kartel dalam pemilihan syarikat pelancongan untuk mengendalikan pakej swasta ibadah haji sekali gus ia tidak benar dan tidak berasas.

Pengarah Eksekutif Haji TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman merangkap Ketua Rombongan Haji Malaysia menegaskan, mana-mana syarikat boleh memohon untuk menjadi Pengelola Jemaah Haji (PJH) berlesen di bawah TH dan dipilih apabila memenuhi syarat ditetapkan.

Menurutnya, sistem ini diguna pakai sejak tahun 2000 dan ditambah baik secara berkala serta diperkemaskan kali terakhir pada tahun ini.

“Syarat-syarat pemilihan PJH adalah bagi memastikan syarikat-syarikat pelancongan tempatan memiliki kapasiti teguh serta mampu memberikan perkhidmatan haji terbaik termasuk mampu menjaga rapi kebajikan jemaah haji Malaysia.

“Permohonan lesen PJH dibuka setiap tahun dan ditutup pada 1 Ramadan. Bagi permohonan baharu untuk musim 1444H/2023M, telah ditutup pada 1 Ramadan 1443H/2 April, manakala untuk musim 1445H/2024 akan ditutup pada 1 Ramadan 1444H,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau merujuk kepada beberapa kenyataan dikeluarkan berhubung pemilihan syarikat pelancongan untuk mengendalikan pakej swasta ibadat haji oleh TH.

Dalam pada itu, Syed Saleh berkata, TH mengeluarkan lesen PJH kepada 22 syarikat pelancongan tempatan pada 22 Febuari lalu dengan melalui proses saringan dan pemilihan teliti.

Katanya, dua PJH baharu dipilih tahun ini iaitu Az Zuha Group Travel & Tours Sdn. Bhd. dan Mimm Travel & Tours Sdn. Bhd. bagi menguruskan pemergian haji ke Tanah Suci.

Menerusi syarat permohonan lesen PJH, syarikat pelancongan tempatan dikehendaki memenuhi 10 syarat antaranya seperti pengalaman mengendalikan umrah tiga tahun berturut-turut, pengurusan dan kakitangan berpengalaman, modal berbayar sekurang-kurangnya RM500,000, lulus penilaian umrah oleh Pejabat TH di Arab Saudi dan tiada kes mahkamah semasa.

Sehubungan itu, orang ramai terutama bakal haji disarankan untuk menggunakan perkhidmatan pakej haji disediakan oleh PJH yang dilesenkan TH dan boleh merujuk senarai tersebut menerusi laman web www.tabunghaji.gov.my. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI