“BERBUATLAH baik kepada ibu bapa sementara hayat mereka masih ada.” Demikian luah penyanyi Shila Amzah tatkala diajak berbicara tentang perspektif pengorbanan sebagai seorang anak daripada sudut pandangannya.
Mengakui sedikit terusik jika menyentuh perihal ibu bapa, penyanyi itu mengakui pengorbanannya sebagai anak masih tidak mencukupi.
“Nak cakap sebagai pengorbanan itu, agak susah. Sebab saya sebagai ibu pun, tak mengharapkan apa-apa daripada anak.
“Tetapi, kalau apa sahaja mereka (ibu bapa) nak atau hadapi, saya akan cuba tunaikan,” katanya.
Zaman muda remaja, sangat sinonim dengan jiwa memberontak dan gemar melawan, bahkan adakalanya meletak ke tepi soal keluarga kerana dibelenggu perasaan ingin bebas melakukan apa yang dimahukan.

Kata pemilik nama lengkap Nurshahila Amir Amzah itu, orang muda khususnya sering berasakan masa mereka masih panjang dan tidak meletakkan ibu bapa serta keluarga sebagai keutamaan kerana lebih mementingkan dunia luar.
“Tak payah cakap jauh, tengok adik-beradik sendiri. Kadang-kadang tanya mereka, kenapa biarkan mama sendirian di rumah. Benda-benda sebegitu.
“Sebenarnya, hidup kita kena berbalik kepada asas. Apa tujuan kita berada di dunia ini? Siapa yang bawa kita ke sini?
“Kena selalu ingatkan diri untuk sentiasa bersyukur dan merendah diri.
“Sebab kita takkan ada di sini tanpa ibu bapa.
“Mereka tidak dijual dalam laman Alibaba atau Shopee. Layanlah elok-elok sementara masih ada,” ujarnya.

Kenang jasa
Tak perlu menyatakan kisah lama secara terperinci, tetapi Shila juga pernah diuji dengan isu perselisihan membabitkan keluarga sendiri.
Akui penyanyi berusia 32 tahun itu sambil berseloroh, jiwanya pada waktu itu masih muda.
“Bagi saya, dalam apa jua keadaan sekali pun, anak-beranak sentiasa ada perselisihan. Tetapi akhirnya, apa jua bentuk perselisihan, saya lihat daripada sudut lebih luas.
“Seandainya berlaku sebarang perkara tidak diingini esok hari, sempat atau tidak saya berbakti kepada ibu bapa?” getusnya cukup makna.
Sempena Hari Raya Haji yang diraikan esok, Shila sempat ditanya tentang sambutannya pada tahun ini.
Kata pelantun lagu Patah Seribu itu, dia akan pulang menyambut Aidiladha di kampung ibunya di Banting, Selangor.

‘Gatal’, fasa terbaik
Menyusur ke denai hati wanita yang baru lima bulan berstatus solo, Shila ternyata terbuka membicarakan isu pengganti.
Dia mengakui masih muda dan untuk apa berpatah arang terhadap cinta.
Perihal kekosongan isi hatinya mula menjadi perhatian ditambah pula dengan keterujaan peminat mengaitkan kembali penyanyi itu dengan bekas kekasih.
Bagaimanapun, keterbukaan sikap Shila berdepan perihal jodoh rupa-rupanya tidak disenangi sesetengah pihak.
Dia dituduh ‘gatal’ dan tidak matang hanya kerana sering bercakap tentang jodoh.
Enggan melayan segala tohmahan negatif, Shila kini bahagia dan sedang menjalani fasa terbaik dalam hidupnya.
“Orang tanya, saya jawab sajalah. Sebab saya dalam keadaan bahaya sekarang. Saya tak ada filter, jadi mungkin ada yang suka, mungkin juga tidak.
“Dah 22 tahun dalam industri, sebenarnya saya dah penat. Malas nak layan. Bila ada orang kecam, orang itu dengki dan mungkin dia tak gembira dengan hidupnya.
“Saya sangat gembira sekarang. Saya berada dalam fasa terbaik dalam hidup. Kalau ada yang tak suka, biarlah,” ucapnya tanpa berselindung.
Tambah penyanyi Patah Seribu itu lagi, dia sentiasa bersedia andai kerap dilayangkan isu berkaitan jodoh. Kini, tiada lagi soalan dalam dunia ini yang akan menakutkan dirinya.
“Sebenarnya saya dah bersedia dan tak ada apa lagi soalan dalam dunia ini akan menakutkan saya.
“Orang boleh tanya apa saja, saya akan jawab dan pilih keterbukaan untuk menjawab sama ada 70 atau 50 peratus. Tapi saya akan tetap jawab,” katanya.

Selepas lima bulan memegang status solo dan membesarkan putera kesayangannya, Seth Uwais sendirian, Shila mengakui, tidak pernah sekali pun menutup pintu hati atau menolak untuk kembali hidup berpasangan.
Shila bagaimanapun sangat berhati-hati dan hanya akan memilih yang bekerja keras dan rajin.
“Dalam bidang muzik, saya pilih orang yang bekerja keras berbanding yang ada bakat. Jadi, saya akan guna perkara yang sama dalam kehidupan peribadi.
“Contohnya, kalau dia anak orang kaya, tetapi tak reti kerja dan mengharapkan ihsan ibu bapa, saya elak.
“Saya nak orang yang rajin. Saya tak nak orang yang tiada hala tuju dalam hidup dan tak tahu apa yang dia nak.
“Tiada matlamat hidup dan misi serta visi, termasuklah orang yang tak bertanggungjawab atas hidup sendiri,” tuturnya.
Dalam perkembangan terbaharu, Shila kini muncul dengan bergandingan dengan Liza Hanim menerusi single terbaharu,. Bahagaikan Dia.
Menariknya, single terbitan Indigital Music tersebut turut terpilih sebagai runut bunyi naskhah Cinta Hilang Kata siaran Astro Prima.














