fbpx
FAIZ (kanan) berjaya meledak gol tunggal perlawanan ketika TFC berjaya mara ke suku akhir Piala FA menewaskan KDA FC kelmarin.

Terengganu FC pasang angan ke final Piala FA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Oleh TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF

TERENGGANU FC (TFC) optimis untuk melangkah jauh dalam saingan Piala FA musim ini selepas menunjukkan Kedah Darul Aman (KDA) jalan keluar di pu­singan kedua selepas meraih kemenangan 1-0 kelmarin.

Pengendali TFC, Mohd. Nafuzi Zain berkata, kejayaan me­ngalahkan KDA telah menaikkan lagi motivasi pemain Sang Penyu yang bakal menerima kunjungan Kuching City FC pada peringkat suku akhir.

“Moral pemain semakin baik dan mereka begitu bersemangat beraksi dalam Piala FA, mungkin tahun ini peluang terbaik TFC untuk meneruskan kemaraan sehingga ke final.

“Tidak dinafikan, berdasarkan undian, TFC memiliki kelebihan di atas kertas, tetapi macam-macam boleh terjadi dalam bola sepak terutama di peringkat kalah mati,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan kelmarin.

Dalam perlawanan itu, tandukan kemas Mohd. Faiz Nasir pada minit keenam sudah cukup untuk membawa TFC mara ke suku akhir dengan mengalahkan KDA.

Begitu pun, TFC memilih jalan sukar apabila terpaksa ber­aksi dengan 10 pemain untuk lebih 40 minit setelah tonggak pertahanan, Pape Diakite dibuang padang gara-gara kekasaran ke atas Ronald Ngah Wanja.

Mohd. Nafuzi berkata, pujian harus diberikan kepada pemain-pemainnya yang telah menunjukkan karakter luar biasa dan berjaya mempertahankan kedudukan 1-0 sehingga ke wisel penamat.

Jelas beliau, bukan mudah untuk beraksi di bawah tekanan dengan KDA menggandakan serangan pada tempoh 40 minit terakhir perlawanan.

“Saya telah mengingatkan anak buah agar tidak berasa selesa dengan kemenangan ini sebaliknya meneruskan kerja keras.

“Secara peribadi, saya mele­takkan sasaran untuk TFC mara ke final pada musim ini,” kata­nya.

POPULAR