fbpx

Suspek bunuh pasangan suami isteri diberkas di Genting Highlands

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mayat pasangan suami isteri yang ditemui di ruang tamu di sebuah rumah dipercayai dibunuh di Taman Bercham Aman, Bercham di Ipoh semalam. /FOTO MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA

IPOH – Seorang lelaki yang diburu kerana disyaki terbabit kes pembunuhan sepasang suami isteri di Taman Bercham Aman, Bercham di sini semalam akhirnya dapat ditahan di sebuah hotel di Genting Highlands malam tadi.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, lelaki berusia 61 tahun yang menjadi buruan polis itu diberkas pada pukul 7.45 malam bersama sebilah kapak yang dipercayai digunakan sebagai senjata untuk membunuh mangsa.

Katanya, ujian saringan air kencing telah dijalankan dan mendapati suspek bebas daripada pengaruh dadah.

“Semakan mendapati suspek memiliki satu rekod lampau dibawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah.

“Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh hari ini untuk permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi membantu siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, dengan tertangkapnya suspek dan rampasan barang kes, polis berjaya menyelesaikan kes berkenaan dalam tempoh 11 jam selepas laporan diterima.

“Kerjasama semua pihak termasuk polis Kontinjen Pahang, pengurusan Resort World Genting, media dan orang awam telah membantu sehingga suspek berjaya ditangkap dalam masa singkat,” katanya.

Menerusi laporan media semalam, mayat suami isteri berusia 64 dan 59 tahun itu dijumpai dalam keadaan berlumuran darah dengan kesan kecederaan parah di kepala di ruang tamu rumah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI