fbpx

Perkeso tambah baik Program Saringan Kesihatan 2.0

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohammed Azman ketika berucap di Majlis Pelancaran Program Saringan Kesihatan Perkeso 2.0 di Sime Darby Plantation Academy, Pulau Carey semalam./ FOTO IHSAN PERKESO

PETALING JAYA – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menerusi Program Saringan Kesihatan Perkeso 2.0 atau HSP 2.0 telah ditambah baik termasuk memperbaharui parameter saringan kesihatan dengan memperkenalkan dua kaedah baharu.

Antaranya adalah saringan kesihatan mental dan penilaian risiko kesihatan keluarga dalam memastikan program itu kekal kondusif serta relevan buat golongan pekerja.

Perkeso dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan program tersebut telah bermula sejak 1 Jun 2022 yang mana sebelum ini operasi HSP terpaksa ditangguhkan sementara dari 1 April 2020 hingga 31 Mei 2022 bagi memberi laluan dan menyokong usaha kerajaan mengekang penularan wabak Covid-19.

“Berdasarkan statistik Perkeso, seramai 3.6 juta pekerja layak mendapatkan saringan kesihatan percuma di bawah HSP dan daripada jumlah tersebut, seramai 576,902 pekerja telah menjalani saringan kesihatan ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, HSP 2.0 kini turut dibuka kepada pencarum yang berusia di antara 30 hingga 39 tahun dan mempunyai risiko penyakit tidak berjangkit atau Non-Communicable Diseases (NCD).

Jelasnya, kriteria baharu itu diperkenal bertujuan memperluas akses saringan kesihatan kepada pekerja daripada pelbagai peringkat umur, sekali gus membolehkan lebih ramai pencarum menikmati insentif berkenaan.

“Pelaksanaan semula HSP menerusi versi 2.0 juga adalah sejajar dengan Inisiatif Saringan Kesihatan Nasional (NHSI) yang akan dilancarkan oleh kerajaan menerusi Kementerian Kesihatan (KKM) di bawah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) pada Julai 2022.

“Inisiatif ini bertujuan menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia terutamanya golongan berumur 40 tahun ke atas untuk menjalani saringan kesihatan,” ujarnya.

Dalam kenyataan itu juga, dimaklumkan saringan kesihatan adalah penting bagi pengesanan dan pencegahan awal NCD selain berperanan mencegah isu hilang upaya dan kematian awal dalam kalangan pekerja.

“Berdasarkan statistik Perkeso pada tahun 2021, seramai 16,906 pencarum dilaporkan hilang upaya atau meninggal dunia akibat NCD, dengan purata 46 kes dilaporkan kepada Perkeso setiap hari,” ujarnya – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI