fbpx
CAJ perkhidmatan dan ubat-ubatan di klinik swasta dikatakan semakin mahal ekoran peningkatan pelbagai kos operasi yang terpaksa ditanggung pihak klinik. – GAMBAR HIASAN

Caj klinik mahal, terpaksa beri anak sisa ubat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Golongan ibu bapa terutama mereka yang berpendapatan rendah kini dikatakan terpaksa memberi anak-anak mereka sisa ubat yang disimpan hampir enam bulan lalu selepas tidak mampu untuk mendapatkan rawatan di klinik-klinik swasta.

Malah, ada kalangan ibu bapa yang sanggup mendapatkan kaedah tradisional bagi tujuan mera­wat anak yang sakit terutama ketika kos barangan semakin melonjak ketika ini.

Hasil tinjauan Kosmo! mendapati, peningkatan caj rawatan di klinik-klinik swasta ketika ini telah memberi beban baharu kepada ramai ibu bapa yang turut tersepit dengan peningkatan kos sara hidup.

Bagi mereka, klinik kerajaan yang menyediakan perkhidmatan rawatan percuma juga bukan lagi menjadi pilihan memandang­kan tempoh menunggu yang terlalu lama akibat terlalu ramai pesakit lain.

PELBAGAI faktor mempengaruhi peningkatan caj klinik swasta. – GAMBAR HIASAN/freepik.com

Di George Town, Pulau Pinang, seorang suri rumah, Iz­yan Adnan, 40, berkata, caj perkhidmatan dan ubat-ubatan yang tinggi di klinik swasta membuatkan dia bimbang untuk membawa tiga anaknya mendapatkan rawatan sekiranya mereka mengalami demam atau pe­nyakit berjangkit.

Sebagai pilihan katanya, saki baki ubat sirap paracetomal yang disimpan hampir lima bulan di dalam peti sejuk akan diberi kepada anak-anaknya yang berusia empat, 10 dan 12 tahun setiap kali mereka mula menunjukkan simptom demam.

“Hari ini, kadar caj rawatan di klinik swasta bukan seperti 10 tahun lalu iaitu RM20 hingga RM30 seorang. Kini, jika seorang anak alami demam, kos rawatan yang dikenakan (klinik swasta) mencecah RM60 seorang, itu belum masuk caj pada tengah malam.

“Jika di klinik pakar pula, caj yang dikenakan hampir RM100 seorang termasuk ubat antibiotik sekiranya anak mengalami demam berlarutan lebih empat hari. Ini cuma harga untuk seorang pesakit luar kanak-kanak dan belum termasuk dua lagi anak sekiranya mereka dijangkiti atau jika alami demam dua kali dalam sebulan.

“Saya bukan tidak mahu pergi ke klinik kerajaan, tetapi memandangkan perlu menunggu lama disebabkan ramai pesakit pelbagai bangsa termasuk warga asing, membuatkan saya bimbang anak mengalami penyakit berjangkit lain pula,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Bagi seorang pekerja swasta, Aziah Wahab, 39, pula, dia sanggup menggunakan kaedah rawatan awal kepada tiga anaknya dengan melakukan petua me­minum air asam jawa sekiranya mereka mengalami gejala demam atau batuk.

“Selagi ada petua yang mampu membantu merawat anak yang demam, batuk atau selesema, selagi itu saya akan amalkannya termasuk mandi dengan air daun bunga raya.

“Sekiranya demam masih tidak kebah dalam masa empat hari, barulah saya akan bawa mereka mendapatkan rawatan di klinik. Itupun jarang sekali.

“Memang kena buat perancangan kewangan keluarga yang serius ketika ini. Setakat demam biasa, saya hanya mendapatkan ubat demam di farmasi yang dijual pada harga RM7 sebotol. Ini lebih berbaloi tanpa dikenakan sebarang caj konsultansi,” kata­nya majikan tempat dia be­kerja hanya menyediakan rawatan klinik untuk kakitangan sahaja.

Di Melaka, seorang ibu tunggal anak enam, Zaini Kaus, 45, memberitahu, sejak kematian suami akibat Covid-19 pada tahun lalu, dia tidak lagi mampu membawa anak-anak mendapatkan rawatan di klinik.

“Saya ada enam anak berusia lima hingga 12 tahun, yang nombor tiga berusia sembilan tahun tu kerap sakit kadangkala demam, ada masa sakit dada.

“Tetapi selagi dia tak teruk, memang saya akan bagi ubat yang ada di rumah seperti pana­dol dan ubat batuk.

“Kalau dah teruk sangat barulah saya bawa ke klinik swasta, itupun memang mahal sekali rawatan akan menelan belanja sehingga RM80,” katanya.

Nurul Ain Sulaiman, 33, pula berkata, disebabkan kos rawatan yang semakin mahal di klinik swasta, dia kini hanya membawa anaknya ke klinik kesihatan kerajaan.

“Anak sulung berusia 13 tahun dan yang paling bongsu enam tahun, kesemua mereka kalau sakit memang saya bawa ke Klinik Ke­sihatan Bertam sahaja.

“Di sana hanya bayar RM1, kalau ke klinik swasta memang tak mampu, kalau demam biasa saya akan berikan panadol sahaja untuk menurun­kan suhu badan mereka,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN