fbpx

Sukan terjun mampu menyinar di Birmingham

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PANDELELA berjaya meraih dua pingat gangsa pada Kejohanan Dunia yang berlangsung di Budapest, Hungary baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Ketua kontinjen (CDM) ke Sukan Komanwel Birmingham 2022, Datuk Shahrul Zaman Yahya meletakkan impian tinggi kepada skuad terjun negara dalam misi membutirkan kilauan pingat emas hujung bulan ini.

Tegas Shahrul, secara peribadi beliau yakin skuad terjun negara mampu melakukan terbaik terutamanya gandingan Datuk Pandelela Rinong Pamg dan Nur Dhabitah Sabri sejurus menghasilkan gangsa dalam acara 10 meter (m) platform serirama wanita di Kejohanan Dunia di Budapest, Hungary baru-baru ini.

Justeru katanya, selepas ini pihaknya akan mengusulkan dalam mesyuarat sasaran emas pada 15 Julai ini dengan meletakkan sukan terjun sebagai salah satu sukan yang mampu menyumbang emas.

“Dengan pencapaian di Kejohanan Dunia baru-baru ini, saya rasa kita sudah nampak kilauan pingat itu namun kita tak mahu memberikan tekanan kepada mereka.

“Sebagaimana saya katakan kepada mereka tadi, saya mahu mereka berseronok seperti mana ketika mereka mula-mula menceburkan diri dalam sukan ini.

“Namun, ini bukan bermakna kita tak mahu mereka tidak mengambil serius tetapi kita tak mahu menekan mereka. Mereka harus berseronok dengan sukan diceburi.

“Berdasarkan prestasi ditunjukkan di Kejohanan Dunia, mereka berada di bawah penerjun China manakala peserta daripada negara Komanwel pula berada di bawah mereka (Malaysia).

“Oleh itu, saya yakin dan percaya mereka boleh melakukannya dan kita doakan Pandelela dan Nur Dhabitah mampu mengulangi prestasi cemerlang tersebut,” kata Shahrul.

SHAHRUL (kiri) yakin skuad terjun negara mampu mencapai keputusan cemerlang pada Sukan Komanwel Birmingham 2022. GAMBAR – MUHAMMAD RIDUAN MOHD. HANAFIAH

Mengulas mengenai sasaran awal tujuh emas yang diumumkan sebelum ini, Shahrul berkata, sasaran muktamad akan dimaklumkan pada majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen yang dijadual berlangsung 19 Julai ini

“Ia belum muktamad lagi. Saya perlu menjelaskan bagaimana unjuran itu dibuat. Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mendapatkan pandangan daripada setiap persatuan sukan mengenai berapa unjuran pingat yang mereka rasa boleh dapat.

“Jadi ia berpandukan kepada unjuran persatuan sukan dan bukan kita yang menentukannya. kita mengambilkira pendapat daripada persatuan sukan namun ini tidak bermakna kita menidakkan kebolehan atlet kita.

“Terbukti Pandelela dan Nur Dhabitah berjaya di peringkat dunia dan harap mereka dapat mengulangi kehebatan di peringkat dunia itu di Sukan Komanwel nanti,” katanya.

Pada penampilan di Gold Coast 2018, skuad terjun negara meraih satu emas menerusi acara 10m platform seirama wanita yang diwakili Cheong Jun Hoong dan Pandelela.

Kem terjun turut meraih dua gangsa menerusi acara sama yang dihasilkan Datuk Leong Mun Yee dan Nur Dhabitah, manakala satu lagi gangsa diraih Mun Yee-Nur Dhabitah dalam acara 3m papan anjal seirama. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI