fbpx

Serah pada PM tentukan tarikh pembubaran Parlimen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mahdzir

SEREMBAN – Tarikh pembubaran Parlimen perlu diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memandangkan beliau lebih tahu masa yang sesuai untuk diadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, walaupun mempunyai jawatan tertinggi dalam UMNO beliau tetap menghormati keputusan atau ketetapan dibuat Ismail Sabri.

“Serah pada Perdana Menteri (tarikh pembubaran Parlimen). Walaupun ada jawatan dalam parti untuk pembubaran Parlimen seeloknya biarlah kita ajukan pada Perdana Menteri.

“Sebagai Perdana Menteri, saya fikir dia tahu masa yang sesuai,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Pembangunan Peruncitan Mara : Halal Mart (Halmart) di Misa Frozen, Taman Desa Cempaka di Nilai di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan media yang mendakwa lima kepe­mimpinan tertinggi UMNO belum duduk berbincang tarikh pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU-15 meskipun ketetapan itu dikemukakan dalam Perhimpunan Agung UMNO 2021 pada Mac lalu.

Sumber tertinggi UMNO memaklumkan, selepas lima bulan berlalu, kelima-lima pemimpin terlibat belum duduk semeja sekali gus menunjukkan tiada ketetapan oleh parti itu berhubung tarikh tersebut.

Dalam pada itu, beliau bersetuju dengan cadangan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk mengetengahkan calon ‘heavyweight’ yang akan memberi kelebihan kepada BN terutama di kawasan pembangkang untuk memastikan kemenangan kepada parti.

“Saya fikir bila bercakap berkaitan pilihan raya sekali gus kita nak menang pilihan raya. Mana parti nak bertanding pun dia akan cari jalan nak menang pilihan raya.

“Salah satu kriteria nak dapat tempat di hati rakyat tu calon yg diketengahkan (heavyweight) yang sudah tentu boleh diterima oleh masyatakat setempat.

“Kalau datang dari Negeri Sembilan dah tentu diterima (orang) Negeri Sembilan, datang dari Selangor orang Selangor boleh terima calon diketengahkan. Bagi saya, ia satu faktor penting untuk menyumbang kepada kemenangan dalam parti,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI