KOTA MARUDU – Lima individu dicari sebagai saksi pendakwaan membabitkan kes jenayah kekerasan yang dibicarakan ketika ini di Mahkamah Majistret sebagai prosiding perbicaraan.
Semua individu berkenaan dikenali sebagai Haimi Tani, Syam Mubin, Alamani Nasalti, Jamaldi Annasi dan Sarata Nasir.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Zairolnizal Ishak berkata, kes berkenaan kini dibicarakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
“Kejadian berlaku sekitar bulan Februari 2020 di Pulau Lundayan, Pitas, melibatkan kes enam mangsa yang dibelasah seorang lelaki berusia 43 tahun.
“Kes membabitkan enam mangsa berusia lingkungan 19 hingga 60 tahun yang dipukul menggunakan objek keras oleh suspek.
“Lima saksi etnik Palauh ini dikehendaki hadir untuk prosiding perbicaraan di mahkamah Majistret Kota Marudu pada 22 hingga 25 Ogos depan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Zairolnizal memaklumkan semua saksi terbabit menetap di Pulau Lundayan, Pitas berdasarkan maklumat sebelum ini.
“Sebarang maklumat atau pertanyaan boleh menghubungi Pegawai Penyiasat kes Inspektor Mohd Zulkairi Md Daud di talian 0138813013 atau menghubungi mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. – KOSMO! ONLINE