fbpx

Lelaki ditemui mati tergantung pada anjung rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PASIR PUTEH – Seorang lelaki ditemui mati dengan keadaan leher tergantung pada tali di bahagian anjung di hadapan rumahnya di Kampung Tok Bali di sini hari ini.

Mayat mangsa yang berusia 36 tahun itu dijumpai oleh ahli keluarganya sebelum mereka terus membuat laporan di Balai Polis Cherang Ruku di sini.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria berkata, anggota polis terus bergegas ke lokasi kejadian sebelum melihat mangsa berada dalam keadaan tergantung dan sudah tidak bernyawa.

Menurutnya, siasatan di lokasi kejadian turut mendapati tiada sebarang unsur jenayah yang boleh dikaitkan dengan kes tersebut.

“Selain itu, tiada sebarang kecederaan dikesan pada anggota badan mangsa sebelum mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Tengku Anis di sini untuk dibedah siasat.

“Laporan bedah siasat mendapati punca kematian mangsa yang tidak mempunyai pekerjaan tetap itu disebabkan kekurangan oksigen dalam darah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Zaizul Rizal, berdasarkan pemeriksaan, mangsa juga tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Mana-mana individu yang mempunyai masalah kemuru­ngan atau menghadapi tekanan boleh menghubungi Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Soko­ngan Psikososial (MHPSS) di 03-29359935 atau 014-3223392 atau Talian Kasih 15999/WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI