fbpx

Buruh binaan ditahan cuba bunuh ibu tunggal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan mangsa ketika dirawat di HUSM, Kubang Kerian selepas dipercayai cuba dibunuh oleh kenalan lelakinya di Taman Sepakat Padang Pak Amat dekat Pasir Puteh pada Jumaat lalu.

PASIR MAS – Seorang ibu tunggal berada dalam koma di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian sejak seminggu lalu selepas dipercayai terjatuh dari motosikal semasa bergaduh dengan kenalan lelakinya di Taman Sepakat Padang Pak Amat dekat Pasir Puteh, Jumaat lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.40 pagi itu, mangsa yang berusia 35 tahun kini masih tidak sedarkan diri selepas mengalami pendarahan dalam kepala, patah tulang rusuk dan tulang selangka kanan.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, siasatan awal mendapati, suspek yang merupakan buruh binaan berusia 33 tahun menunggang motosikal jenis Modenas dipercayai mengejar mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda EX5.

Menurutnya, semasa tiba di lokasi kejadian, suspek dipercayai menarik tangan mangsa meminta agar memberhentikan motosikal ditunggangnya.

“Insiden itu menyebabkan motosikal yang ditunggang ibu kepada dua anak itu hilang kawalam sebelum terbabas di tepi jalan.

“Suspek telah membawa mangsa ke Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh sebelum wanita itu dipindahkan ke HUSM, Kubang Kerian akibat kecederaan parah yang dialaminya,” katanya pada sidang akhbar pada sidang akhbar selepas Majlis Penutup Kursus Tempur Jarak Dekat Siri 1/2022, Kontinjen Kelantan di Lapang Sasar Bukit Pak Junuh di sini hari ini.

Mengulas lanjut, menurut Muhamad Zaki, berdasarkan laporan yang diterima berhubung kejadian itu, polis terus menahan suspek di rumahnya di Pasir Puteh pada hari yang sama.

Katanya, ujian saringan air kencing terhadap suspek mendapati lelaki itu positif dadah jenis methamphetamine.

“Tiada maklumat lanjut berhubung punca kejadian tersebut kerana mangsa masih berada dalam keadaan koma. Kita sedang menunggu wanita itu sedar untuk siasatan terperinci selepas ini.

“Suspek juga ditahan reman selama tujuh hari bermula Jumaat lalu sehingga hari ini dan polis akan memohon tempoh lanjutan reman untuk menyiasat kes tersebut,” katanya.

Tambah Muhamad Zaki, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cuba membunuh. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI