fbpx
GERRARD Clair Monteiro (kanan) bersama John Beasley (tengah) dan Muhammad Shah Firdaus ketika mengadakan lawatan ke venue latihan skuad basikal negara ke Sukan Komanwel 2022 di Velodrom Nasional, Nilai, Seremban hari ini.-MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.

Ketiadaan Azizulhasni peluang kepada pelumba muda tunjuk keupayaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Oleh NAZARUDIN SHAHARI

SEREMBAN- Pasukan lumba basikal trek negara mampu memberi saingan bermakna dalam Sukan Komanwel 2022 di Birmingham yang bermula akhir bulan ini.

Timbalan Chef de Mission (CDM) ke Sukan Komanwel Birmingham 2022, Gerrard Clair Monteiro berkata, tanpa kelibat jaguh sukan berkenaan, Datuk Mohd. Azizulhasni Awang yang sedang pulih daripada rawatan jantung, pasukan itu perlu meneruskan perjuangan dalam kejohanan tersebut.

Katanya, pelumba, Muhammad Shah Firdaus Sahrom, 26, kini diberi tanggung jawab mengetuai misi memburu pingat untuk pasukan berbasikal trek negara.

“Sebelum ini, Mohd. Azizulhasni berada pada kedudukan tinggi. Ketiadaan beliau kali ini memberi peluang kepada pelumba muda negara mempamerkan prestasi masing-masing dalam Sukan Komanwel kali ini,” katanya kepada pemberita selepas melawat kem latihan pasukan berbasikal trek negara di Velodrom Nasional, Nilai dekat sini hari ini.

Dalam lawatan itu, beliau menemui kesemua enam pelumba berbasikal trek terdiri daripada tiga orang lelaki dan tiga wanita serta jurulatih kebangsaan, John Beasley.

Selain Muhammad Shah Firdaus, pasukan itu yang akan berlepas ke London hujung bulan ini terdiri daripada Muhammad Fadhil Zonis, Muhammad Ridwan Sahrom, Anis Amira Rosidi, Nurul Izzah Izzati Mohd. Asri dan Nurul Aliana Syafika Azizan.

Mereka akan mengambil bahagian dalam enam acara di sukan tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, Beasley meminta semua pelumba itu bangkit dan menunjukkan keupayaan sebenar masing-masing pada kejohanan setiap empat tahun itu.

Menurutnya, mereka mesti yakin pada diri sendiri, memberi komitmen penuh dan akhirnya mampu meraih pingat pada temasya kali ini.

“Kami ada masa lebih dua minggu untuk meningkatkan latihan dan memperbaiki kelemahan. Saya yakin mereka mampu melakukannya,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE.

POPULAR