fbpx

Ibu, bayi maut dikelar selamat disemadi hari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rosman Anmad (kanan) bapa kepada mangsa bunuh pada pengkebumian anak dan cucunya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bakar Batu, Johor Bahru di sini malam ini.

JOHOR BAHRU – Jenazah Hajar Nursyahirin Rosman dan bayi lelakinya, Hans Mohd. Thakif Amir yang mati akibat dikelar semalam selamat disemadikan dalam satu kubur di Tanah Perkuburan Islam Bakar Batu, di sini hari ini.

Majlis pengkebumian bermula pukul 8.10 malam itu berlangsung lancar walaupun dalam keadaan cuaca gerimis.

Kira-kira 100 orang terdiri daripada ahli keluarga, rakan-rakan dan penduduk setempat turut hadir untuk memberikan penghormatan terakhir.

Bapa mangsa, Rosman Ahmad, 58, bersyukur kerana majlis pengkebumian anak ketiga dan cucu keempatnya itu berlangsung dengan lancar.

“Kedua-dua jenazah akan dikebumikan dalam satu kubur, saya sudah berbincang dengan besan (bapa suspek) berhubung perkara ini dan mereka telah bersetuju, jadi kita teruskan sahaja.

“Alhamdulillah, semuanya telah selesai,” katanya kepada pemberita selepas selesai majlis pengkebumian itu.

Selain keluarga mangsa, upacara pengebumian itu turut dihadiri keluarga suspek, termasuk bapanya, Adam Abdullah, 55, dan adik lelakinya, Aiman Adam, 18, serta ahli keluarganya yang lain.

Terdahulu, kedua-dua jenazah disembahyangkan di Masjid Kampung Bakar Batu dekat sini selepas selesai solat fardu maghrib.

Sementara itu, Ahli Pertubuhan Khairat Kematian Kampung Bakar Batu, Hashim Mohamed, 55, berkata, pengkebumian dua jenazah di dalam satu kubur ini merupakan kali pertama dilakukan di kawasan perkuburan tersebut.

“Ya, ini merupakan pertama kali dua jenazah dikebumikan bersama-sama di dalam satu kubur di sini.

“Jenazah ibunya dimasukkan terlebih dahulu secara mengiring dan mengadap kiblat, manakala jenazah anaknya dimasukkan kemudian dalam susunan jenazah bayi dirapatkan ke bahagian perut ibunya,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 hari semalam, Hajar Nursyahirin dan Hans Mohd. Thakif dipercayai dibunuh dengan kejam oleh suspek yang mempunyai pertalian keluarga dengan kedua-dua mangsa.

Mayat kedua-dua mangsa ditemui di hadapan pintu kediaman mereka dengan kesan kelar pada bahagian leher.

Walau bagaimanapun, suspek berjaya ditahan polis dalam keadaan berbogel di sekitar Permas Jaya, di sini pukul 2.45 petang semalam.

Pihak polis turut menemui sebilah pisau pemotong daging yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu daripada suspek yang bekerja sambilan sebagai pencuci kapal di Pasir Gudang.

Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini memerintahkan suspek ditahan reman selama tujuh hari untuk membantu siasatan yang dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI