fbpx

Banjir Baling: Ismail Sabri mahu bantuan segera disalurkan kepada mangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohammad Anuar (baju biru) yang mewakili Ismail Sabri ketika meninjau operasi mencari dan menyelamat mangsa banjir di Baling, Kedah hari ini. /Foto Ihsan Facebook Ismail Sabri Yaakob

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan takziah kepada semua penduduk di Baling, Kedah atas kejadian banjir yang menimpa sehingga mengorbankan tiga nyawa ketika ini.

Menerusi perkongsian di laman Facebooknya, Ismail Sabri yang kini berada di Turki bagi lawatan rasminya di negara terbabit berkata, beliau mengikut rapat perkembangan keadaan banjir di kawasan terbabit.

Pada masa katanya, beliau telah mengarahkan Setiausaha Politik, Datuk Mohammad Anuar Mohd. Yunus mewakilinya untuk turun ke kawasan bencana bagi meninjau dan memastikan bantuan disalurkan dengan secepatnya kepada mangsa.

“Walaupun berada di Turki untuk lawatan rasmi, saya sentiasa mengikuti perkembangan yang menimpa Keluarga Malaysia di Baling.

“Kita meninjau keperluan segera yang diperlukan oleh mangsa-mangsa banjir yang terlibat di Baling dan bantuan harus segera disampaikan kepada mangsa walaupun saya berada di Turki,” katanya di Facebook.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, pihaknya telah mengarahkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan pihak berkuasa berkaitan bagi membantu mangsa-mangsa banjir.

“Saya doakan semoga mangsa-mangsa banjir tabah menghadapi dugaan ini.

“Takziah kepada mereka yang kehilangan insan tersayang dan sama-samalah kita sedekahkan Al Fatihah dan didoakan semoga roh mereka ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh,” ujarnya.

Terdahulu Kosmo! Online melaporkan, tiga sekeluarga termasuk seorang wanita yang mengandung empat bulan dipercayai hilang dalam banjir yang berlaku di Kampung Bukit Iboi, di sini petang semalam.

Bagaimanapun, mayat wanita hamil, Nurul Anis Abu Hassan, 23, dan ibu mertuanya, Salmah Mat Akib, 53, ditemui dalam keadaan menyayat hati dengan kedua-duanya dijumpai berpelukan di bawah timbunan batang pokok kira-kira 100 meter dari rumah mereka kira-kira pukul 9.30 pagi tadi.

Manakala, mangsa ketiga, Khairul Ikhwan Nor Azman, 14, ditemui di bawah timbunan batang pokok tidak jauh dari tempat mayat ibu dan kakak iparnya dijumpai. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI