fbpx

Wanita tidak sangka, mangsa terbaring jenazah anak sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan kawasan kemalangan yang meragut nyawa seorang pelajar lelaki di Jalan Air Tanai, Air Pa’abas, di sini, hari ini.

ALOR GAJAH – Seorang ibu tidak menyangka mangsa nahas dilihat terbaring di atas jalan raya adalah jenazah anaknya sendiri yang maut selepas terperosok di bawah sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Jalan Air Tanai, Air Pa’abas, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.20 pagi itu, mangsa, Muhammad Khiesyam Mohamad Jamel, 14, yang dalam perjalanan ke sekolah disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan di anggota badan.

Menurut Rusita Mohamad Aris, 54, ketika kejadian dia dalam perjalanan menghantar anak bongsunya berusia 10 tahun ke sekolah sebelum ternampak kemalangan dan seorang mangsa terbaring di atas jalan raya.

Katanya, dia bagaimanapun hanya melalui kawasan itu sebelum tiba-tiba mendapat panggilan telefon daripada jiran memaklumkan anak keduanya yang mesra dengan panggilan Acik terlibat nahas.

“Masa tu saya sedang memandu kereta nak hantar anak yang kecil ke sekolah dan ternampak ada kemalangan dengan seorang mangsa terbaring di atas jalan raya.

“Saya tak nampak motosikal anak, jadi saya meneruskan perjalanan menghantar anak sehinggalah dalam perjalanan pulang jiran beritahu Acik kemalangan,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Alor Gajah, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut dia yang juga merupakan ibu tunggal memberitahu, sebelum kejadian anak kedua dari tiga beradik itu sempat bersalam dengannya dan memberitahu akan pulang lewat kerana mempunyai aktiviti di sekolah.

“Selalu memang saya hantar dia naik kereta tetapi hari ini dia ke sekolah menunggang motosikal kerana katanya akan pulang lewat dan tidak mahu menyusahkan saya perlu berulang-alik ambil adik, kemudian dia.

“Saya tak sangka mangsa yang terbaring tu anak saya sendiri, baru sebulan dia duduk bersama saya dan adik-adiknya kerana sebelum ini dia tinggal di asrama di sekolah sukan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu, berkata kemalangan berlaku apabila CRV itu yang dalam perjalanan ke Alor Gajah telah hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan dan merempuh Modenas Kriss ditunggangi mangsa.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI