fbpx

Siti Nurfatin Izzati berani dan sukakan cabaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TURUT mahu melibatkan diri dalam dunia perniagaan, gadis ini menjadikan personaliti media sosial, Khairul Aming sebagai sumber inspirasi.

PERUMPAMAAN kecil-kecil cili padi yang membawa maksud biarpun bertubuh kecil, tetapi berani tepat menggambarkan karakter gadis kampus minggu ini, Siti Nurfatin Izzati Johari.

Mempunyai perwatakan lemah lembut dan manja, siapa sangka di sebalik imej yang ditonjolkan itu, anak kedua daripada enam adik-beradik ini memiliki sifat penyayang, berani dan sukakan cabaran.

Sebagai pelajar dalam bidang kejururawatan, berada di hospital sememangnya bukanlah satu perkara asing buat gadis berusia 21 tahun ini.

Bukan sekadar berdepan dengan pesakit, beliau bahkan pernah berpengalaman menguruskan sendiri jenazah sewaktu menjalani latihan praktikal di Hospital Port Dickson, Negeri Sembilan.

“Saya baru menamatkan pengajian dalam jurusan Kejururawatan di Kuala Lumpur Setapak DSH Institute of Technology. Pun begitu, saya berazam untuk menyambung pengajian sehingga ke peringkat lebih tinggi kerana meminati bidang tersebut.

“Melihat saudara-mara terutamanya sebelah ibu yang kebanyakannya bekerja sebagai jururawat, ia memberi inspirasi kepada saya untuk meneruskan pelajaran dalam bidang ini.

“Pada awalnya saya nampak semuanya mudah, tetapi realitinya bidang ini juga mempunyai cabaran tersendiri. Bahkan sepanjang pengajian bermula di semester pertama lagi, saya banyak menangis kerana bimbang tidak boleh ‘bawa’ jurusan yang dipilih ini.

“Mana tidaknya, banyak organ yang perlu dihafal. Bagaimanapun, berkat kesabaran dan dorongan daripada kedua-dua ibu bapa, saya berjaya mengharunginya,” katanya.

Saudara-mara yang kebanyakannya bekerja sebagai jururawat mendorong minat Siti Nurfatin Izzati dalam bidang itu.

Bercerita mengenai jurusan yang diambilnya itu, menurut Siti Nurfatin Izzati, setiap semester beliau perlu menjalani latihan praktikal di hospital usai menjalani sesi pembelajaran selama tiga bulan.

Katanya, latihan praktikal bagi pelajar kejururawatan penting bagi melayakkan mereka menduduki Peperiksaan Lembaga Jururawat Malaysia sebelum layak bekerja dalam profesion tersebut.

“Banyak yang dipelajari sepanjang latihan praktikal. Bukan sekadar pesakit, saya pernah memasuki bilik mayat dan melihat sendiri keadaan janin bayi.

“Saya juga pernah menguruskan jenazah ketika berada di semester pertama dan itulah pengalaman pertama saya. Biarpun perasaan bercampur baur sewaktu menguruskan jenazah, namun saya kuatkan hati menghadapi cabaran itu.

“Alhamdulillah, semuanya dipermudahkan. Saya berpeluang menguruskan jenazah dari proses memandikan sehingga peringkat kafan,” jelasnya.

Cantik bergaya dan berkecimpung dalam dunia kejururawatan, namun gadis ini mengidolakan pesohor media sosial yang popular dengan resipi masakan ringkas, Khairul Aming.

Disebabkan dia juga bercita-cita untuk berkecimpung dalam dunia perniagaan satu hari nanti, figura tersebut layak diangkat sebagai idolanya.

Ini terutama tatkala melihatkan pencapaian yang digapai pesohor media sosial terbabit dalam bidang perniagaan.

Bukan sahaja mengagumi kewibawaan pemuda tersebut dalam menguruskan perniagaan, gadis ini bahkan suka melihat perkongsian figura tersebut di media sosial.

“Saya juga merupakan seorang gadis yang gemar memasak. Setiap kali memasak, saya dan ibu gemar mencuba resipi-resipi baharu yang dikongsikan di laman YouTubenya.

“Menu yang dikongsikan juga mudah dan tidak sukar untuk dicuba. Penerangan yang diberikan mengenai satu-satu resipi yang dikongsikan sangat jelas dan setakat ini, tiada lagi menu yang ditonjolkan sukar untuk dimasak.

“Bagi saya, beliau merupakan individu yang sangat merendah diri dan patut dicontohi untuk mencapai kejayaan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI