fbpx

MAIM naikkan bantuan wang bulanan, kit makanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Md. Rawi

MELAKA – Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) akan terus menaikkan jumlah bantuan zakat bagi wang bulanan dan kit makanan mengikut sasaran kutipan zakat RM113 juta, pada tahun hadapan.

Timbalan Pengerusinya Datuk Md. Rawi Mahmud berkata, kenaikan itu telah mula dilaksanakan pada Aidilfitri lalu dengan pertambahan RM50 bagi bantuan wang bulanan dan RM10 kit makanan.

“Bermula Aidilfitri lalu, kita telah naikkan jumlah wang bantuan bulanan daripada RM200 kepada RM250 dan kit makanan RM40 ke RM50.

“Kita akan terus menaikkan jumlah bantuan ini mengikut kutipan zakat yang diperolehi dan kita sasarkan untuk mengutip RM113 juta pada tahun hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Sumbangan Aidiladha Peringkat Kota Melaka yang disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Mas, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman, di Masjid Kampung Hulu, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, kenaikan yang dibuat pada tahun ini membabitkan kira-kira lima peratus menerusi hasil kutipan RM105 juta.

Katanya, bantuan itu diagihkan kepada lebih 9,000 penerima bantuan MAIM di negeri ini.

Media sebelum ini melaporkan, Pakar Kewangan Islam, Tan Sri Dr. Mohd. Daud Bakar berpandangan bantuan zakat perlu dinaikkan dengan mengambil kira kadar inflasi semasa dan peningkatan kos sara hidup ketika ini.

Mohd. Daud yang juga Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) berkata, langkah itu bagi memastikan rakyat yang tergelincir ke kelompok asnaf dapat dibantu. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI