TAIPING – Lelaki yang meloloskan diri daripada kawalan polis ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Taiping di sini Rabu lalu, dijatuhi hukuman penjara enam tahun atas kesalahan pecah rumah dan mencuri.
Tertuduh, Mohamad Ailuddin Akif Alluvi, 30, dijatuhi hukuman tersebut selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Nizam Zakaria.
Dalam penghakimannya, Nizam turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu daripada tarikh ditangkap iaitu pada 22 Jun lalu.
Mengikut kertas pertuduhan, bapa kepada seorang anak itu didakwa melakukan pecah rumah dan mencuri dua buah telefon bimbit, sebuah komputer riba, wang tunai RM3,000, seutas rantai tangan dan leher serta empat bentuk cincin dengan jumlah keseluruhan RM12,000.
Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh yang merupakan pekerja ladang di sebuah rumah di Kampung Redang Panjang, Ijok, Batu Kurau pada pukul 1 petang, 21 Jun 2022.
Dia dituduh mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh didenda atau sebat bagi kesalahan kedua dan seterusnya.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Khoo Thean Heng manakala tertuduh diwakili peguam, Ng Wei Juan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Sementara itu pada prosiding berasingan di Mahkamah Majistret, tertuduh yang baru selesai menjalani hukuman penjara pada Mac lalu turut mengaku bersalah atas pertuduhan melepaskan diri daripada jagaan polis pengiring pada Rabu lalu. – KOSMO! ONLINE














