fbpx
KEINGINAN Fazura untuk merasai pengalaman berniaga di Besar Siti Khadijah tertunai saat berkunjung ke kediaman seorang kenalannya di Kelantan.

Fazura ‘jual’ sayur di Kelantan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Lama menyimpan hasrat untuk merasai sendiri pengalaman berniaga di Pasar Siti Khadijah di Kota Bharu, Kelantan, akhirnya impian pelakon dan usahawan, Nur Fazura itu tercapai.

Fazura atau nama sebenarnya, Nur Fazura Sharifuddin menerusi satu muat naik video YouTube berkongsi pengalaman dirinya merasai sendiri pengalaman berharga menjual sayur-sayuran di destinasi ikonik negeri Cik Siti Wan Kembang itu.

Menurut Fazura, 39, dia sememangnya sudah lama menyimpan angan-angan untuk merasai pengalaman berniaga di sana dan berasa sangat teruja akhirnya perkara tersebut dapat dilaksanakan.

“Sebenarnya memang dari kecil saya ada satu impian. Masa mula-mula dahulu, saya nak jadi pramugari dan saya juga teringin nak punya pengalaman menjual (berniaga).

“Teringin nak rasai sendiri pengalaman menjual di Pasar Siti Khadijah bersama peniaga-peniaga wanita yang ada di sana. Alhamdulillah, apabila ada pelanggan yang datang membeli, rasa tercapai impian saya nak menjual itu,” katanya.

Difahamkan, Fazura berkongsikan video perjalanannya ke kediaman jurumekap peribadinya, Rozlan Nassir bagi merasai sendiri pengalaman menyambut Hari Raya Aidiladha di Kelantan.

Menurutnya, sambutan raya Haji di Kelantan sangat meriah berbanding di negeri-negeri lain, termasuk di ibu kota.

“Ternyata memang orang kata, Abe Lan bagi ‘preview’ sambutan raya Haji yang sangat meriah di Kelantan. Memang sangat-sangat meriahlah.

“Memang sangat berbeza dengan sambutan apabila berada di Kuala Lumpur. Sangat kagum dengan kerjasama ataupun silaturahim orang kampung bersama-sama, bergotong royong, basuh pinggan sama-sama dan tengok dikir barat.

“Sangat bersyukur memilih untuk datang ke Kelantan dan dilayan dengan begitu meriah dan banyak kasih sayang. Memang sangat manis dan tidak akan dilupakan,” ujarnya.

Menerusi video yang dimuat naik, isteri kepada pelakon Fattah Amin itu turut berkongsikan aktiviti menarik sepanjang berada di negeri tersebut seperti berpeluang menjadi tukang karut persembahan dikir barat, mengunjungi Masjid Ar-Rahman, Pantai Senok yang terkenal dengan jolokan Pulau Nami Malaysia dan menonton persembahan wayang kulit. – KOSMO! ONLINE

POPULAR