fbpx
IEDA MOIN

Jangan jadikan saya badut – Ieda Moin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEMULAKAN kerjaya seni sebagai penyanyi dengan menganggotai kumpulan Dewi sekitar 1998, pemilik nama pentas Ieda Moin kemudian menubuhkan kumpulan duo yang diberi nama Moin bersama adik lelakinya, Eddy pada 1999.

Pada zamannya, lagu dendangan mereka berjudul Kau Yang Ku Sayang sangat mendapat tempat di hati pendengar.

Namun keberadaan Moin dalam industri tidak bertahan lama. Ieda kemudiannya terjun ke bidang lakonan dan cukup dikenali sebagai pelawak, impak keistimewaan yang dimilikinya iaitu melatah.

Ieda atau nama lengkapnya Siti Haida Abd. Moin, 43, ketika ditemui Pose! baru-baru ini sempat berkongsi tentang penyakit latah yang dianggap sebagai rezeki kurniaan Allah SWT walaupun terpaksa menjadi ‘badut’ untuk menghiburkan peminat.

Sejujurnya, Ieda bersyukur kerana disebabkanpenyakit latah itu, rezekinya dalam bidang seni sebagai pelakon dan juga pelawak mencurah-curah.

“Terus-terang, disebabkan melatahlah saya dapat banyak tawaran bekerja,” jelasnya.

Di sebalik perwatakan kelakar dan ceria, Ieda mengakui dirinya seorang yang panas baran, namun bertempat.

Pada mata umum, orang mungkin menganggap Ieda sebagai seorang penghibur serba boleh. Jenaka yang dipersembahkan kepada penonton mencuit hati sesiapa sahaja dengan aksi latahnya yang menghiburkan.

Namun, jauh di sudut hati, Ieda sebenarnya mengakui pernah berasa seperti ‘orang bodoh’ untuk membuatkan orang lain terhibur.

“Memang perasaan rasa seperti badut itu ada. Apa yang membuatkan saya kurang senang bila orang kata saya dibayar untuk melatah.

“Saya melatah bukan dibuat-buat. Kalau saya sengaja buat-buat melatah, saya tidak akan membahayakan nyawa orang lain, bahkan mengancam keselamatan sendiri.

“Orang ramai mungkin tidak tahu, pernah beberapa kali saya membahayakan nyawa sendiri kerana diusik pihak yang mahu melihat saya melatah. Saya hampir dilanggar bas atau terjun dari atas bangunan,” katanya.

Sebagai manusia normal, Ieda juga mempunyai hati memohon kepada orang ramai supaya menghormati dirinya bukan sebagai artis, tetapi sebagai seorang insan bernyawa.

Lumrah manusia juga memiliki sikap marah. Namun Ieda bukanlah sejenis manusia yang suka melepaskan kemarahannya jika kerap diusik untuk melatah.

POPULAR