fbpx

Inflasi di negara muflis Sri Lanka lepasi angka 50 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ORANG AWAM melaungkan slogan menuntut Presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa meletak jawatan semasa tunjuk perasaan di Colombo kelmarin. - AFP

COLOMBO – Inflasi Sri Lanka mencatat rekod kesembilan berturut-turut pada Jun lepas apabila meningkat kepada 54.6 peratus, sehari selepas Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) meminta Colombo menangani kenaikan harga barang dan gejala rasuah, demikian menurut data rasmi semalam.

Ini adalah kali pertama Indeks Harga Pengguna Colombo (CCPI) melepasi penanda aras psikologi utama 50 peratus.

Angka itu direkodkan beberapa jam selepas IMF menggesa Sri Lanka mengawal inflasi yang melambung tinggi dan rasuah sebagai sebahagian usaha menyelamatkan negara muflis itu.

Sri Lanka berdepan kegawatan ekonomi yang teruk akibat krisis pertukaran mata wang ­asing.

CCPI negara itu mencatat rekod bulanan baharu sejak Oktober 2021 apabila kadar inflasi tahun ke tahun hanya di paras 7.6 peratus tetapi mencecah 39.1 peratus pada Mei tahun ini.

Mata wang rupee negara itu juga hilang separuh nilainya berbanding dolar Amerika Syarikat pada 2022.

Menurut Steve Hanke selaku ahli ekonomi Universiti John Hopkins, inflasi semasa negara itu kini mencecah 128 peratus, kedua paling buruk berbanding inflasi 365 peratus di Zimbabwe.

Berdepan kekurangan tenaga yang serius, Sri Lanka bertindak menutup semua institusi kurang penting selama dua minggu termasuk sekolah bagi mengurangkan perbelanjaan.

Sejumlah 22 juta rakyatnya pula menderita selama berbulan-bulan akibat kekurangan barangan utama termasuk makanan, bahan api dan ubat. – AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI