“KAMI luangkan masa sebagai keluarga, sangat bagus, tetapi sebagai pasangan suami isteri, itu tiada (keserasian).”
Demikian antara luahan emosi yang terbit dari bibir penyanyi Nikki Palikat atau nama sebenarnya, Nicolette Louisa Palikat yang mendedahkan sudah tidak lagi bergelar isteri kepada komposer, Audi Mok sejak Mac tahun lalu.
Kendatipun, hubungan baik antara mereka tetap terjalin meskipun kini tidak lagi menggalas peranan sebagai suami isteri. Semuanya demi kelangsungan hidup putera mereka, Liam, 11.
Ditemui HibGlam pada sidang media khas di pejabat Indigital Music di Damansara Perdana, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini, Nikki dan Audi tetap profesional.
Mereka menjawab setiap soalan daripada rakan media dengan baik.

Cerai pandemik, kaunseling
Tingkah laku kedua-duanya tidak langsung menampakkan bahtera perkahwinan mereka sudah pun karam. Bahkan, rasa seperti mereka masih lagi bersama kerana tidak terpancar langsung realiti bahawa mereka sudah berpisah.
“Benda ini (perceraian) berlaku ketika pandemik. Sejujurnya, saya tak ingat sangat sebab amat menyakitkan dan saya cuba padam kejadian sebenar.
“Apa yang saya ingat, memang berlaku ketika lockdown yang ada beberapa fasa.
“Insiden jadi menyakitkan sebab waktu itu tiada kerja dan kami duduk di rumah sahaja serta terpaksa berdepan dengan perasaan dalam keadaan yang sudah tidak lagi bersama.
“Pada masa sama memberi waktu buat saya dan Audi untuk menerima kenyataan dan pulih semula,” ujar naib juara Gegar Vaganza musim kelapan (GV8) itu.
Bukan tidak mencuba menyelamatkan perkahwinan berusia 12 tahun ketika perceraian diputuskan sebagai penyelesaian, namun kata Nikki, jodoh dengan Audi tidak panjang meskipun beberapa kali pernah mendapatkan khidmat kaunseling.
“Pihak kaunselor pun tak tahu nak cakap apa sebab hubungan kami sangat baik sebagai ibu bapa dan sahabat.
“Cuma, masalah utamanya adalah sebagai suami isteri kerana tiada keserasian.
“Apa pun, saya lega dengan penjelasan ini kerana tidak perlu lagi menyembunyikan kebenaran. Malah, selepas segala penjelasan ini diharapkan saya tidak akan lagi ditanya mengenainya kerana perceraian amat menyakitkan,” katanya.

– MOHD. FIRDAUS MOHD. JOHARI
Penerimaan anak
Berkongsi tentang respons atau penerimaan anaknya Liam, penyanyi lagu Drama itu memberitahu, perihal tersebut merupakan kepayahan paling menyakitkan yang terpaksa ditempuhinya.
Tiada sesiapa yang berkahwin mahukan jalan perpisahan, namun jika memang sudah tiada jodoh dan keserasian, lebih baik berpisah daripada terus merana. Begitu juga dengan Nikki.
Meskipun begitu, tanggungjawab sebagai ibu bapa harus dipenuhi sebaik mungkin.
“Saya paling takut nak beritahu anak, tetapi saya terkejut apabila maklumkan kepadanya yang kami sudah bercerai, jawapannya benar-benar membuatkan saya sebak.
“Katanya tiada beza pun saya dan Audi bercerai. Sama sahaja. Sebab apa? Liam tak pernah nampak kami bergaduh dan suasana di rumah memang sentiasa aman.
“Macam saya cakap tadi, barangkali jodoh saya dengan Audi sebagai pasangan suami isteri sudah tiada, tetapi selaku ibu dan bapa kepada anak kami, itu akan tetap berterusan.
“Kami sepakat nak besarkan anak dengan sebaik mungkin walaupun sudah tidak lagi menggalas status sebagai suami isteri,” jelas Nikki.

Bercerai tapi sedia kerjasama
Dalam pada itu, Audi yang turut berada pada sidang media berkata, kekangan atau kesibukan jadual kerja barangkali menjadi penyebab rumah tangganya dengan Nikki menemui kegagalan selepas 12 tahun bertahan.
“Barangkali juga, kesibukan kerjaya membuatkan perkahwinan kami menemui kegagalan.
“Ya, tak dinafikan saya memang agak sibuk dengan kerja hingga membuatkan hubungan kami suami isteri mula dingin dan berterusan,” katanya.
Audi atau nama sebenarnya, Audi Mok Chuang Yew tidak menolak andai selepas ini menjalin kerjasama dengan Nikki atas nama kerjaya dan muzik.
“Saya rasa kalau ada projek yang memang memerlukan ‘bunyi’ saya dengan suara Nikki bersatu, sudah tentu saya akan lakukannya. Pasti menyeronokkan.
“Bagi saya, perceraian memang menyedihkan. Bukan satu penamat kehidupan, tetapi bagi saya permulaan untuk sesuatu yang baharu.
“Nikki masih muda dan saya pun taklah terlalu tua.
“Semasa kami berkahwin, Nikki baru usia 20-an dan semakin menginjak usia, dia sedar dirinya bagaimana. Saya dan Nikki akan tetap bersahabat baik,” katanya mengakhiri perbualan.















