fbpx
Keadaan tembok konkrit yang runtuh dan hanya ditutupi kanvas di kawasan Taman Setia Jaya, Melaka

250 penduduk hidup ketakutan, tembok konkrit runtuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA – Lebih 250 penduduk di Pangsapuri Bukit Piatu dan Taman Setia Jaya di sini hidup dalam ketakutan susulan tembok konkrit di kawasan penempatan itu mulai runtuh sejak bulan lalu.

Pengerusi penduduk pangsapuri tiga tingkat itu, Lim Kong Hock, 63, berkata, kejadian pertama tembok konkrit setinggi 10 meter itu runtuh adalah pada 23 Jun lalu dan menimpa pagar sebuah kediaman.

Katanya, susulan insiden menakutkan itu, pihak bertanggungjawab bagaimanapun dilihat hanya memasangkan kain kanvas sebagai langkah keselamatan bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

“Kami tak dapat tidur lena, apatah lagi kalau hari hujan kerana bimbang tembok yang tinggi ini akan runtuh lagi dan menimpa penduduk, terutama penghuni di Blok G dan H.

“Sebelum ini runtuhan turut menimpa sebuah rumah teres di Taman Setia Jaya sehingga menyebabkan tembok rumahnya rosak,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, petang semalam.

Tambahnya, dalam insiden lalu, tembok tersebut runtuh bersama-sama bongkah besar tanah merah.

Ujarnya, justeru pihaknya meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak bertanggungjawab melakukan langkah yang lebih proaktif sebelum insiden lebih buruk berlaku.

“Tak akan lah hanya tutup dengan kanvas, pangsapuri di sini pun sudah berusia 54 tahun kita tak tahu ketahanan bangunan ini macam mana.

“Insiden ini pertama kali berlaku sejak bangunan dibina dan secara kasar kita lihat keadaan ini merisikokan puluhan nyawa penduduk terutama mereka yang menetap berhampiran tebing,” katanya.

Sementara itu Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Bukit Katil, Senator Datuk Mohd. Ridhwan Mohd. Ali berkata, agensi terlibat termasuk JKR dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah sedang meneliti kaedah terbaik membaiki runtuhan tebing berkenaan.

“Hanya sebuah rumah di Taman Setia Jaya terjejas dan penghuni telah dinasihatkan berpindah sementara bagi membolehkan kerja-kerja pembaikan tebing dilaksanakan,” katanya. -KOSMO! ONLINE.

POPULAR