fbpx

Warga asing sanggup tinggalkan anak elak dicekup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Syamsul Badrin (kiri) melihat kanak-kanak perempuan yang ditinggalkan pasangan warga asing untuk menyelamatkan diri ketika Ops Sapu semalam.

KUALA LUMPUR – Pasangan warga asing sanggup meninggalkan dua anak perempuan mereka bersendirian ketika Ops Sapu yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia di kawasan rumah setinggan sekitar Segambut Dalam tengah malam tadi.

Lebih menyedihkan, kedua-dua kanak-kanak terbabit yang berusia setahun dan lima tahun itu ditinggalkan ketika tidur sementara ibu bapa(warga Indonesia) mereka nekad melarikan diri daripada pihak berkuasa.

Difahamkan, usaha mengesan ibu bapa atau penjaga kanak-kanak terbabit masih dijalankan selepas mereka berjaya melarikan diri dari kawasan setinggan terbabit.

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Syamsul Badrin Mohshin berkata, operasi bermula pada pukul 12.30 tengah malam itu telah dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Imigresen Kuala Lumpur.

“Seramai 107 individu telah diperiksa dalam operasi terbabit dan 40 daripadanya telah ditahan membabitkan 18 lelaki, 17 wanita dan lima kanak-kanak warga Indonesia (36) dan Bangladesh (4) berusia dua bulan hingga 57 tahun.

“Kesemua pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan atas pelbagai kesalahan Imigresen termasuk tidak mempunyai dokumen perjalanan diri yang sah,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, siasatan awal mendapati kawasan penempatan itu dipercayai telah wujud lebih 10 tahun lalu dan berdasarkan maklumat, rumah di kawasan tersebut disewa pada harga antara RM600 hingga RM800 sebulan manakala bagi bilik pula disewa pada harga RM300 sebulan.

“kebanyakan warga asing yang menetap di kawasan ini bekerja sebagai buruh binaan dan tukang cuci.

“Kesemua warga asing yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Bukit Jalil untuk tindakan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” jelasnya.

Menurutnya, serbuan itu adalah sebahagian daripada operasi besar-besaran yang diumumkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin susulan Program Rekalibrasi Pulang yang tamat semalam.

“Bermula hari ini, kita akan mengadakan operasi bagi mengesan PATI yang masih tidak mengambil peluang pulang ke negara asal.

“Dalam operasi ini, kita tidak hanya memberi fokus kepada kawasan kediaman tetapi juga semua premis membabitkan warga asing bagi memastikan tindakan diambil terhadap mereka,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI