fbpx

‘Spider Solo’ pecah lima rumah dalam lima jam diberkas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Christopher menunjukkan barangan yang dilarikan Spider Solo pada sidang akhbar di IPD Melaka Tengah, hari ini.

MELAKA – Seorang lelaki digelar ‘Spider Solo’ diberkas polis selepas dipercayai memecah masuk lima buah rumah dalam masa lima jam sehingga menyebabkan kerugian RM50,000 di sekitar Batu Berendam di sini.

Suspek berusia 38 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah ketika dia dalam perjalanan pulang ke rumah keluarganya di Kepong, Kuala Lumpur, pada 8 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, suspek dikesan selepas polis menerima laporan berhubung kes pecah rumah membabitkan lima kediaman di Batu Berendam, pada hujung Mei lalu.

Katanya, kesemua jenayah itu dipercayai telah dilakukan suspek dalam tempoh lima jam pada hari sama membabitkan kerugian RM50,000.

“Suspek bergerak sendirian dan digelar ‘Spider Solo’ kerana dia telah melakukan jenayah dengan teknik memanjat saluran paip sebelum masuk ke dalam rumah mangsa melalui siling kediaman.

“Hasil soal siasat, kita percaya suspek telah memecah masuk lima buah rumah yang dilakukannya dalam masa lima jam membabitkan kerugian RM50,000 pada Mei lalu,” katanya pada sidang akhbar di IPD Melaka Tengah, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, suspek merupakan kaki judi dan motif utama suspek melakukan jenayah itu adalah bagi melangsaikan hutang ah long selepas kalah dalam perjudian.

“Suspek merupakan kaki judi dan semua hasil wang tunai yang dicuri telah diserahkan kepada ah long untuk melangsaikan hutangnya, manakala barangan lain termasuk beg tangan berjenama dijual kepada rakan.

“Kita percaya suspek juga terlibat dalam kes pecah rumah di sekitar ibu negara pada tahun lalu, namun mula mencari habuan di negeri ini selepas jenayahnya itu dihidu pasukan polis di sana,” katanya.

Katanya, suspek kini direman sehingga esok dan akan didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Christopher turut memberitahu sejak awal tahun lalu sebanyak 20 individu telah ditahan dan pihak polis berjaya menyelesaikan 49 kes pecah rumah membabitkan jumlah kerugian RM500,000.

Kesemua suspek terdiri daripada lima kumpulan penjenayah dan dua individu berusia 22 hingga 57 tahun itu diberkas menerusi Ops Pintu bermula 1 Januari hingga 22 Jun lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI