KOTA KINABALU – Selepas lebih enam bulan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohamaddin Ketapi mengumumkan keluar parti itu hari ini.
Mohamaddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Segama menyatakan beliau kini bergelar wakil rakyat bebas dan setakat ini tidak menyertai mana-mana parti politik.
“Hari ini saya ingin mengumumkan keluar daripada Bersatu yang saya anggotai sejak November 2021.
“Keputusan keluar daripada Parti Bersatu ini dibuat kerana saya tidak diberi peranan seperti yang dijanjikan untuk memperkukuhkan parti berkenaan sebelum ini.
“Saya telah dijanjikan peranan untuk memimpin parti di kawasan saya di Parlimen Lahad Datu dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Segama namun selepas lebih enam bulan, tiada sebarang peranan yang diberikan.
“Malahan saya dan penyokong-penyokong yang telah memberi kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke 12 yang lalu dan Parlimen Lahad Datu sudah diketepikan,” katanya ketika sidang akhbar khas sebentar tadi.
Terdahulu, Mohammadin pada Oktober tahun lalu mengumumkan keluar Parti Warisan sebelum menyertai Parti Bersatu pada bulan November tahun sama. – KOSMO! ONLINE