fbpx

Kumpulan WhatsApp dedahkan pengguna kepada kecurian data

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Keghairahan rakyat Malaysia mewujudkan serta berada di dalam banyak kumpulan aplikasi WhatsApp secara tidak langsung mendedahkan mereka kepada risiko kecurian data peribadi.

Ketua Pesuruhjaya Jabatan Perlindungan Data Peribadi Malaysia (JPDP), Mazmalek Mohamad berkata, kajian oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mendapati kira-kira 98 peratus rakyat Malaysia menggunakan aplikasi tersebut sebagai platform perhubungan bersama kenalan atau untuk urusan kerja.

“Bergantung kepada populariti atau keperluan, seseorang itu dianggarkan mempunyai kira-kira 30 kumpulan WhatsApp yang mana secara tidak langsung memberikan akses nombor telefon milik mereka kepada kira-kira 600 individu lain secara kasar.

“Sudah pasti tidak semua di antara kita mengenali setiap individu yang berada di dalam kumpulan WhatsApp yang kita sertai, lainlah jika ia kumpulan keluarga atau rakan serumah, jadi bagaimana mahu melindungi data kita daripada individu yang tidak dikenali ini?,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menyampaikan taklimat berhubung bidang kuasa Pejabat Pesuruhjaya Perlindungan Data Peribadi Malaysia kepada pengamal media di sini hari ini.

Menurut Mazmalek, apabila data seperti nombor telefon milik kita diperolehi oleh individu lain di dalam kumpulan tersebut apakah yang menghalang mereka daripada memberikannya kepada pihak ketiga.

“Di masa kini, nombor telefon merupakan data peribadi milik individu yang perlu dilindungi kerana apabila telah didedahkan, tidak mustahil kita akan menerima pelbagai iklan menjual barang atau perkhidmatan malah lebih teruk jika dihubungi oleh ‘scammer’.

“Apabila berlaku kes kecurian data, JPDP siasat dan dapati ia berpunca daripada kumpulan WhatsApp malah ada siasatan mendapati mangsa menyertai sehingga 50 kumpulan dan tidak mengenali ahlinya yang lain,” ujar beliau.

Tambah beliau, rakyat Malaysia perlu lebih bijak membuat pertimbangan dan tidak sewenang-wenangnya mewujudkan atau menyertai kumpulan WhatsApp yang tidak memberi apa-apa faedah kepada mereka.

“Lebih banyak kumpulan yang kita sertai lebih besar risikonya,” kata beliau. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI