fbpx
LIYANA JASMAY

Sukar cari bakat berkualiti – Liyana Jasmay

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBAGAI penerbit dan pengarah, Liyana Jasmay mengakui trend pengambilan pelakon membintangi sesebuah naskhah berdasarkan jumlah pengikut media sosial adakalanya satu fakta yang harus ditelan pada era kini.

Ujar pelakon berusia 34 tahun itu, dalam apa jua situasi, terma populariti perlu ada untuk seseorang pelakon membina nama dalam industri.

Akui Liyana, tidak patut menyalahkan stesen televisyen yang memulakan trend tersebut kerana baginya, itu adalah kriteria yang telah ditetapkan dalam mencari wajah untuk melariskan produk diterbitkan mereka.

Bagaimanapun katanya, sudah menjadi tanggungjawab penerbit dan pengarah termasuk pelakon yang dipilih agar membentuk kriteria yang dimahukan.

MENYEDARI populariti satu realiti, pelakon, penerbit popular Liyana Jasmay enggan melatah dengan isu jumlah pengikut media sosial dan tuntutan kriteria stesen televisyen.

“Isu ini fakta, satu realiti. Kita memang perlukan populariti tak kira macam mana sekalipun. Tak boleh marah stesen televisyen juga, sebab itu kriteria dimahukan mereka.

“Tetapi dari sisi lain, sebagai pengarah, penerbit dan juga pelakon, kitalah yang kena bentuk diri dan asah bakat seiring dengan kriteria dicari stesen televisyen,” luahnya.

Liyana ditemui pada majlis tayangan Histeria The Series baru-baru ini yang menampilkan lakonan bakat-bakat muda seperti Mia Sara Shauki, Sharifah Aryana Syed Zainal Rashid Al-Yahya, Amelia Christie dan Serra Kamal.

Histeria The Series mengisahkan tentang sekumpulan pelajar yang dihantui misteri kematian seorang pelajar di sekolah mereka sekitar 10 tahun lalu.

MEMANDANG dari sudut sebagai seorang penerbit, Liyana melihat trend mengambil pelakon baharu sebagai watak utama adalah salah satu cara memberi mereka peluang membina nama. – MUHAMAD IQBAL ROSLI

Pelapis

Ditebak tentang pengalaman bekerja dengan ramai bakat baharu dalam siri tersebut, ibu kepada dua cahaya mata itu memandang wajah-wajah muda sebagai pelapis untuk meneruskan legasi industri tempatan pada masa depan.

Puji Liyana, kesemua pelakon dalam siri tersebut memang patut diangkat dan diketengahkan bakat mereka kerana semuanya datang berbekalkan asas ilmu lakonan.

“Macam inilah patut diangkat. Mereka pemain sebenar. Saya nampak mereka bersungguh-sungguh dan berlakon. Bukan masuk industri untuk kejar nama dan glamor,” ujarnya.

Pada masa sama, pelakon filem Papadom itu akur dengan cabaran yang dihadapi industri seni tempatan ketika ini iaitu kesukaran mencari pelakon berkualiti, tidak seperti zaman dahulu.

“Bila tengok mereka, saya dapat rasa aura bahawa inilah bakat yang boleh digilap sama seperti pelakon-pelakon zaman dahulu. Contohnya macam Lisa Surihani. Zaman sekarang susah nak cari macam dia.

“Saya berpendapat, susah nak cari mungkin sebab kurang peluang untuk dapat karakter yang bagus dalam lakonan. Ironi, saya sebagai penerbit dan pengarah memang berdepan kesukaran cari pelakon berbakat.

“Tetapi ada beberapa nama pelakon baharu yang saya suka dengan bakat dan kesungguhan mereka. Mereka berlakon bukan sekadar ikut skrip tapi ada semangat, penuh rasa dan jiwa ketika bekerja,” kata Liyana.

PELAKON ini sentiasa mengagumi kesungguhan yang ditunjukkan bakat-bakat baharu dalam lakonan dan tidak mengejar populariti semata-mata.

Murni kembali

Sementara berkongsi tentang penglibatannya dalam Histeria The Series yang merupakan kesinambungan filem Histeria (2010), watak yang dibawa Liyana iaitu Murni dikembalikan dalam siri berkenaan.

Biarpun tidak banyak babak melibatkan dirinya, namun akui Liyana, watak Murni sangat penting kerana menjadi penyambung antara tragedi misteri yang berlaku 10 tahun lalu dengan pelajar-pelajar baharu di sekolah tersebut.

“Dalam filem Histeria, hanya Murni seorang yang hidup pada akhir cerita. Jadi, dia dikembalikan dalam siri ini sebagai tali yang menyambungkan antara pelajar-pelajar di sekolah tersebut dengan kisah yang berlaku 10 tahun lalu.

“Penglibatan saya tidaklah terlalu banyak tetapi watak Murni sangat penting. Dia menjadi perantara dengan makhluk halus,” jelasnya.

Mengembalikan roh watak dan lakonan yang telah lebih sedekad ditinggalkan, Liyana berkata, dia mengalami kesukaran mencari semula filem Histeria untuk dijadikan sebagai rujukan.

“Masa dapat tawaran berlakon siri ini, saya tak tahu kat mana nak cari filem Histeria untuk saya tonton semula bagi membantu mengimbau kembali jalan cerita. Maklumlah cerita ini tidak ada dalam bentuk cakera padat ataupun platform seperti YouTube.

“Saya cuma ingat sendiri dan ikut apa yang pengarah, James Lee mahukan. Jadi secara asasnya, watak Murni dalam siri ini digambarkan menjalani kehidupan di rumah sakit jiwa kerana dihantui perasaan bersalah atas kematian semua rakan-rakannya 10 tahun lalu,” tutupnya.

LIYANA seronok dapat menyertai pasukan Histeria The Series dan mengembalikan watak Murni dalam filem Histeria lebih sedekad lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN