KUALA LUMPUR – Seorang remaja perempuan dilaporkan hilang selepas pergi ke kedai untuk mendapatkan pekerjaan dalam kejadian di Kampung Bandar Dalam, di sini pada Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, ibu kepada remaja terbabit membuat laporan polis selepas gagal menghubungi telefon bimbit gadis berusia 17 tahun berkenaan.
“Siasatan mendapati remaja perempuan itu dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Kondominium Sri Suajaya sekitar pukul 7.20 petang.
“Mangsa yang bernama Nur Hidayati Duwaijah Mazlan dikatakan telah keluar dari rumah untuk ke kedai dan sehingga kini remaja berkenaan masih gagal dihubungi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Jelas Eng Lai, ibu remaja terbabit memaklumkan kali terakhir anak perempuannya itu dilihat memakai baju berwarna merah dan berseluar warna hitam.
“Remaja itu berketinggian lebih kurang 145 sentimeter dan berkulit cerah. Selain itu, gadis terbabit berbadan sederhana serta kedua-dua matanya berwarna coklat.
“Polis telah mengeluarkan hebahan pencarian remaja perempuan berkenaan melalui Nur Alert,” ujarnya.
Tambahnya, Polis Kuala Lumpur menyeru orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kehilangan remaja itu untuk tampil memberikan keterangan atau terus menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Noramalina Md. Jamil di talian 017-3185868 atau menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di talian 03-40482222. – KOSMO! ONLINE














