fbpx
Kasihan pengarah tak pasal-pasal kena tuduh cuai.

Pihak perubatan sendiri yang pasangkan, bukan produksi – Pengarah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Pengarah drama Bisik-Bisik Gelora, Riza Baharudin tampil menjelaskan bahawa pihaknya telah pun mendapatkan rujukan daripada mereka yang arif terlebih dahulu tentang cara pemasangan tiub bantuan pernafasan (intubation tube) sebelum babak ‘kritikal’ lakonan Redza Rosli dibuat.

Riza yang dihubungi Kosmo! Online memberitahu, peralatan tersebut telah dipasang sendiri oleh pegawai perubatan dan bukannya dibuat sesuka hati kerana bimbang jika cara penyambungan tiub bantuan pernafasan itu salah.

“Kalau boleh saya tidak mahu kaitkan sesiapa. Tapi saya perlu jelaskan bahawa tiub bantuan pernafasan itu telah dipasang oleh individu yang arif tentang perubatan dan bukannya pihak kru produksi.

“Bila pihak perubatan sendiri yang memasangnya, saya tidaklah boleh memandai-mandai kata salah. Jadi saya anggap sahaja cara pemakaian tiub bantuan pernafasan itu betul,” katanya kepada Kosmo! Online.

Ujar Riza lagi, sewaktu babak itu dijalankan di sebuah hospital, dia turut berada di lokasi dan telah bertanyakan beberapa kali kepada pihak perubatan untuk mendapatkan kepastian.

“Banyak kali saya tanya itu dan ini kerana mahu segala-galanya nampak sempurna. Malah sebelum drama Bisik-Bisik Gelora ditayangkan, pihak penyiar TV3 juga ada bertanyakan tentang perkara itu.

“Saya dengan yakin memaklumkan bahawa cara pemakaian tiub bantuan pernafasan itu telah dipasang dengan betul oleh pihak perubatan,” katanya.

Bagaimanapun, sebagai pengarah, Riza memikul tanggungjawab tersebut dan memohon maaf kepada pihak yang menganggap babak tersebut seolah-olah memperlekehkan institusi perubatan.

“Dengan rasa rendah diri, sebagai pengarah saya sedia memikul tanggungjawab dengan memohon maaf kepada mereka yang terasa.

“Sebagai pengajaran, saya akan lebih berhati-hati selepas ini dan akan mendapatkan pandangan lebih daripada seorang pakar jika mahu melakukan babak serupa dikemudian hari,” katanya.

Enggan menyalahkan mana-mana pihak, Riza pada masa sama turut mengucapkan terima kasih kepada penonton yang menonton drama tersebut kerana peka dengan ‘kesilapan’ yang berlaku.

“Bila tular babak ‘kritikal’ itu, maknanya penonton peka dan tonton drama saya. Terima kasih semua,” ujarnya.

Terdahulu, tular dalam laman sosial apabila babak Jad Izzuddin lakonan Redza Rosli yang terlantar dalam keadaan kritikal di hospital menjadi bahan lawak netizen selepas cara tiub bantuan pernafasan yang digunakannya dianggap pelik oleh penonton.

Malah, babak tersebut turut mendapat teguran oleh seorang doktor perubatan apabila mendakwa cara penyambungan tiub bantuan pernafasan itu tidak sama seperti amalan perubatan sebenar. – KOSMO! ONLINE

POPULAR